Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada Sabtu ini supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan.
Setiausahanya, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, maklumat Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan dimaklumkan melalui aplikasi MySPR Semak.
“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang atau waktu yang telah diwartakan di pusat mengundi masing-masing.
“Namun demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, seramai 1,213,769 pengundi biasa daripada 1,252,014 pengundi berdaftar, layak mengundi pada 18 Disember ini manakala terdapat 20,360 pengundi awal dan 17,885 mengundi secara pos.
Jelasnya, pengundi juga disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi
melalui saluran-saluran berikut iaitu portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my; aplikasi MySPR Semak atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018.
“Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat berikut iaitu pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.
“SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada hari Sabtu ini,” tambah Ikmalrudin lagi.