Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak dan Parti Bersatu Sarawak (PSB) dilihat gagal mencapai kata sepakat berkaitan peruntukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN)Ke-12 Sarawak akan datang.
Malah, Pengerusi PKR Sarawak, Larry Sng menegaskan usaha itu telah ‘mati’ berikutan kedegilan PSB untuk berkompromi dalam pembahagian kerusi seperti yang dicadangkan Pakatan Harapan (PH) Sarawak.
“Nampaknya usaha bagi mengelakkan pertarungan pelbagai penjuru pada PRN Sarawak nanti bakal berdepan dengan jalan buntu susulan kegagalan PKR dan PSB gagal mencapai kata sepakat.
“Usaha ini telah ‘mati’ ekoran kedegilan PSB untuk bertolak ansur.
“Justeru, PSB telah memilih untuk bertegas bertanding di semua 82 kerusi DUN, maka tidak ada ruang untuk PKR Sarawak mempertimbangkan bekerjasama dengan mereka,” tegasnya dalam satu catatan di Facebook semalam.
Menurut Larry, rundingan bagi membentuk kesepakatan itu sepatutnya diteruskan sehingga akhir bulan ini.
Jelasnya lagi, dengan pendirian keras dan tegas PSB, sebarang perjanjian tidak mungkin berlaku sekali gus bakal menyaksikan pertembungan antara kedua-dua parti berkenaan selain parti pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti gabungan PH serta beberapa parti lain di negeri ini.
Sehubungan itu, katanya PKR akan memberi tumpuan di 47 kerusi DUN yang sudah dirundingkan dengan sekutunya, DAP dan AMANAH.
“DAP akan bertanding di 26 kerusi sementara AMANAH di sembilan seperti yang dibincangkan sebelum ini.
“Perjanjian ini amat penting kerana kita tidak mahu ada pertembungan seperti yang berlaku pada PRN 2016 dan harapan saya agar tidak berulang lagi pada PRN kali ini,” katanya.
Kelmarin, Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen memberitahu bersedia untuk bekerjasama dengan PSB mengikut formula 3:3:3:1.
Katanya, jika kerjasama itu tercapai, maka 30 peratus daripada konstituensi negeri masing-masing bakal dipertandingkan oleh DAP, PKR dan PSB manakala AMANAH pula bertanding di 10 peratus daripada 82 kerusi DUN.