Program 100 hari: Khairy tidak cakna SOP sendiri, patut lebih sensitif

Oleh KIM SYAZIE

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini diselar dengan tindakan perhimpunan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan baru-baru ini.

Khairy dikatakan tidak cakna dengan SOP yang ditetapkan oleh kementerian beliau sendiri sehingga melibatkan pembabitan orang awam yang terlalu ramai dalam program tersebut.

Mengulas perkara itu, Adun Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Cheman ketika dihubungi memaklumkan Khairy tidak ada sensitiviti dalam menumpukan SOP yang ditetapkan beliau sendiri.

Ujarnya, sebagai seorang menteri, seharusnya Khairy lebih sensitif dalam melihat suasana himpunan manusia dalam program tersebut.

“Ini menunjukkan bahawa Menteri Kesihatan Malaysia tidak cakna dan peka dengan SOP yang ditetapkan oleh beliau sendiri.

“Kita kesal selepas apa yang kita hadapi selama ini seperti sekatan bertemu rakyat dihadkan tetapi untuk diri mereka (kerajaan) perkara itu seperti dibolehkan.

“Mengapa tiada had kehadiran dalam program tersebut? Perkara itu tidak munasabah di mana hari ini pun mana-mana program yang akan diadakan perlu mempunyai had maksima kehadiran dan itu tidak wujud ketika program itu berlangsung,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan kompaun yang dikenakan kepada penganjur itu seperti wujudnya sikap pilih bulu.

“Apa alasan kerajaan mengenakan kompaun yang minima tidak seperti kompaun yang dikenakan kepada rakyat umum dalam kes-kes yang lain.

“Boleh dikatakan sikap pilih bulu masih wujud di kalangan kementerian hari ini. Kerajaan perlu membentangkan alasan kompaun minima yang dikenakan kepada penganjur tersebut.

“Apa yang membimbangkan, program tersebut akan menjadi ikutan pelbagai pihak dan ia akan dijadikan rujukan untuk pelanggaran SOP pada masa akan datang,” ujarnya lagi.