Program Dwi Bahasa adalah ‘malapetaka berganda’

Oleh BORHAN AHMAD

Abdul Raof dan Mohamad dalam sidang media tentang DLP di Wisma Amanah

Majlis Bertindak Pendidikan Kebangsaan (MBPK) mempersoal Program Dwi Bahasa (DLP) yang hanya dilaksanakan di sekolah kebangsaan, tidak di sekolah
vernakular seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Datuk Abdul Raof Husin berkata, tindakan ini menunjukkan ketidaksamarataan sistem
pendidikan antara sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular.

“DLP hanya tumpu kepada sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan sahaja sedangkan SJKC dan SJKT tidak dimasukkan.

“Mengapa ini berlaku? Sepatutnya pendidikan di negara kita disamakan. Seolah-olah berlaku ketidakadilan dalam perkara ini sedangkan dasar pendidikan jelas mengatakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar,” kata beliau dalam sidang media bersama Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu di Wisma Amanah, Jalan Kuching, hari ini.

Beliau juga menegaskan, bantahan terhadap DLP tidak bermaksud mereka menolak usaha meningkatkan pengauasaan Bahasa Inggeris.

“Kita tak tentang usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi tidak dengan menjadikan ia sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.

“Peningkatan dalam penguasaan bahasa Inggeris perlu dicapai melalui pengajaran dan pembelajaran sebagai salah satu mata pelajaran dalam sistem pendidikan, bukan dengan mengubah dasar,” katanya.

Sementara itu, Amanah, Biro Pendidikan PKR dan MBPK menyifatkan pelaksanaan DLP sebagai ‘malapetaka berganda’ buat pelajar dan negara ini.

Mohamad berkata, kajian menunjukkan bahawa prestasi pelajar akan merosot jika program itu dilaksanakan seperti pelaksanaan program pengajian Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (PPSMI) 2013-2015.

“Penyelidikan Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) mengenai keberkesanan pelaksanaan PPSMI 2013-2015 mendapati lebih ramai pelajar sekolah rendah dan
menengah yang gagal dalam Matematik dan Sains termasuk bahasa Inggeris.

“Ini boleh dinamakan sebagai ‘malapetaka berganda’ bagi pelajar negara kita,” katanya.

Beliau juga berkata, tindakan ini dilihat mengkhianati keputusan untuk memartabatkan bahasa Melayu di mana persetujuan mengenainya terkandung dalam ‘7 Wasiat Raja-Raja Melayu’ untuk mencapai kemerdekaan.

“Mengapa cadangan DLP yang datangnya daripada Pemandu lebih diutamakan berbanding Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mengutamakan pendidikan Bahasa Melayu untuk perpaduan rakyat, yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pendidikan,” katanya.

Sehubungan itu, Amanah dan PKR katanya akan melancarkan program penerangan ke seluruh negara bermula dari sekarang.

Kemuncak gerakan ini ialah Demonstrasi Rakyat pada 26 Mac ini di ibu negara.