“Program nyanyian ‘popular’ hanya malukan artis” – Man Bai tolak tawaran berduet

Oleh MAISARAH AISYA

Kebanyakan artis lama mula membuat kemunculan kembali dalam pertandingan nyanyian untuk mendapat tempat dalam industri.

Namun dilihat program ini tidak menaikkan nama penyanyi lama dan sekadar meraih populariti daripada peminat yang saban tahun menunggu kepulangan artis kesayangan.

Penyanyi senior, Man Bai mendakwa dia menolak daripada terlibat dengan program nyanyian popular Gegar Vaganza (GV).

Penyanyi berusia 57 tahun itu mendakwa dirinya mendapat tawaran untuk menjadi penyanyi jemputan baru-baru ini namun menolaknya lapor Kosmo! Online.

“Baru-baru ini pihak produksi GV ada hubungi saya untuk segmen lagu duet yang katanya pada minggu ini tetapi saya tolak tawaran itu kerana rasa program tersebut memalukan artis.

“Kenapa mahu merendahkan artis. Contohnya, penyanyi Indonesia, Inka Christie yang sudah menang pelbagai anugerah termasuk di Asia Pasifik tersingkit minggu lalu, tidak logik.

“Jangan main permainan begini, saya tidak suka. Kalau mahu cari bakat, biar cara yang betul,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Pada masa sama dia turut mempertikai kredibiliti Datuk Ramli M.S sebagai ketua juri selepas memberikan tempat pertama kepada Ronnie Hussein.

“Bukan itu sahaja, Ronnie menang minggu lalu kerana Ramli kata sudah selalu beri kemenangan kepada Liza Aziz.

“Kalau betul Liza layak menang, mengapa takut berikan (kemenangan) kepadanya? Bagaimana dengan usaha yang dilakukan Liza sebelum ini sampai boleh beri dia berada di tempat ketiga?

“Bagaimana dia menjadi ketua juri? Kalau dalam hati dia betul-betul seorang juri dan mahu beri kemenangan kepada yang layak, beri sahajalah,” tambahnya.

Baca juga: Guna ‘AI’ untuk berduet dengan arwah suami, PU Syed tegur Nora Ariffin secara terbuka