Sejak dua tiga hari ini beredar satu klip video sekumpulan anak muda Indonesia bersalawat di sebuah konsert dengan kelakuan yang agak kurang sopan.
Awalnya ramai mengandaikan bahawa program salawat telah dijadikan seperti konsert.
Ini kerana dalam rakaman itu, kumpulan anak muda lelaki dan perempuan yang bercampur gaul, menyanyikan lagu nasyid dan salawat seperti konsert.
Mereka melompat-lompat kecil sambil bersalawat, mengikuti rentak lagu dinyanyikan seorang penyanyi di atas pentas.
Video itu tersebar sehingga menjadi bualan rakyat negara ini yang berasa ‘gerun’ dan takut melihat situasi yang dianggap sudah jauh terbabas dari apa yang dianjurkan agama.
Komen-komen netizen Malaysia juga menarik perhatian netizen dari negara seberang yang tidak berpuas hati kerana video itu didakwa telah disalah tafsir.
Menurut seorang rakyat Indonesia, program itu sememangnya adalah sebuah festival muzik yang bukan bertemakan agama, malah salawat itu pula sebagai acara pembuka yang dinyanyikan Haddad Alwi.
Mereka juga mempersoal adakah hanya orang beriman sahaja yang boleh bersalawat?
“Hadad Alwi, penyanyi dari lagu ini, datang ke acara itu, mengajak semua orang di sana bersalawat bareng (bersama). Kamu tahu siapa yang salawat di sana? Semua jenis muslim sampai non-muslim. Sekarang saya tanyda anda apakah hanya orang (terpaling) beriman yang boleh salawat sementara yang lain tidak boleh?,” komen netizen dari seberang.
Biarpun begitu, netizen Malaysia berpendapat salawat dalam keadaan sebegitu masih lagi tidak beradab.
Ia turut dipersetujui beberapa pengguna dari Indonesia yang menganggap salawat sambil ‘berjoget’ seperti yang ditunjukkan di dalam video tersebut sangat memalukan, apatah lagi lelaki dan perempuan bercampur seperti itu.
“Ya memang salah, harusnya kita belajar apa si arti salawat, adabnya bagaimana si dalam bersalawat. Semoga Allah beri kita hidayah,” demikian antara komen yang ditinggalkan.
Baca juga: Bertemu jodoh lepas 2 bulan peluk Islam, bekas isteri Keith Foo pilih pengarah filem jadi suami