Proses penilaian risiko umrah dimuktamad Februari ini

Oleh NASUHA RAHMAN

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) muktamadkan proses penilaian risiko dan SOP perjalanan umrah menjelang pertengahan Februari ini.

Kedua-dua kementerian terbabit telah mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Agensi Pelancongan (UMRAH) bagi mendapatkan maklum balas berhubung hala tuju industri umrah susulan daripada keputusan penangguhan sementara yang sedang berkuat kuasa.

Sesi libat urus tersebut telah dikendalikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Turut hadir ialah pengurusan tertinggi kedua-dua kementerian, wakil-wakil agensi persekutuan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Imigresesn Malaysia serta ahli-ahli daripada Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Persatuan Agensi Pelancongan
Umrah & Haji (PAPUH), The Malaysian Association of Tour & Travel Agents (MATTA).

Dalam kenyataan bersama kedua-dua kementerian terbabit turut memaklumkan antara perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri pelancongan umrah pada sesi perbincangan libat urus petang ini adalah SOP berkaitan pelaksanaan perjalanan umrah, isu bayaran balik dan penjadualan semula penerbangan, perlindungan insurans, garis masa pembukaan semula perjalanan umrah dan bantuan pemulihan kepada industri pelancongan.

“Kedua-dua menteri dalam maklumbalas mereka telah menyatakan komitmen untuk memperincikan dan memperhalusi setiap isu serta cadangan yang dikemukakan di peringkat kementerian masing-masing sebelum membentangkan cadangan penambahbaikan kepada Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 akan datang,” kata kenyataan itu.