Protes terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di New Zealand sampai ke tahap mengejutkan apabila seorang demonstran melempar objek berbentuk alat sulit lelaki ke arah muka Menteri Pembangunan Ekonomi, Steven Joyce.
Kejadian spontan ketika menteri tersebut mengadakan sidang media di Waitangi itu dilakukan oleh seorang wanita, Jumaat lalu sebagai membantah penyertaan New Zealand dalam TPPA.
“Itu untuk perkosaan terhadap kedaulatan negara kami kerana TPPA menggadai kebebasan kita,” jerit wanita yang melempar objek itu sebelum diiringi pihak polis menjauhi lokasi sidang media tersebut.
Beliau yang dilaporkan sebagai Josie Butler kemudiannya dilepaskan tanpa dikenakan sebarang tindakan.
Sementara itu, memetik laporan Independent, Joyce menganggap kejadian spontan itu sebagai sedikit lucu.
Kerjasama 12 negara dalam TPPA menerima kritikan banyak pihak ekoran kerahsiaan yang tinggi serta kebimbangan wujudnya eksploitasi korporat asing terutama dari Amerika Syarikat (AS).
Perjanjian yang kontroversi itu bagaimanapun telah ditandatangani, 4 Februari lalu di New Zealand.