Parti Alternatif Rakyat (PAP) akan meletakkan calon bertanding 15 kerusi Dun yang mempunyai majoriti pengundi Melayu di Pulau Pinang.
Naib Presidennya, Rahmad Ishak berkata, PAP dijangka akan bertanding di kesemua 15 kerusi Dun dalam kawasan majoriti Melayu di negeri ini dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang akan datang.
“Pihak kami telah mengambil kira beberapa faktor semasa, terutamanya ialah soal geopolitik orang Melayu di Pulau Pinang.
“Kita juga optimis pertandingan lebih dari tiga penjuru pasti akan berlaku di beberapa kawasan Melayu yang boleh dikategorikan sebagai peluang terbuka bagi pengundi melakukan perubahan secara drastik.
“PRU ke 14 jua akan menjadi platform terbaik bagi pengundi negeri ini memberikan peluang kepada wakil dari PAP, untuk membawa permasalahan rakyat secara lebih telus tanpa sekatan, ” tegasnya lagi.
Jelas beliau lagi, secara rasionalnya, bukanlah hasrat PAP untuk mencabar atau merendahkan kredibiliti mana-mana parti politik selain memartabatkan sistem demokrasi menerusi peti undi.
Sehubungan itu katanya, ironinya kesemua parti politik yang bertanding mempunyai satu matlamat yang sama bagi mendapatkan mandat rakyat..
“Sebagai sebuah parti berbilang kaum yang berteraskan ideologi demokratik leberal dengan menjadikan perlembagaan negara sebagai pegangan, maka PAP juga bercadang untuk meletakkan calon-calon di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Cina.
“PAP akan turut bertanding kawasan campuran yang turut disandang oleh DAP dan PKR.
“Walau bagaimana pun, cadangan ini akan direalisasikan secara rasmi termasuk jumlah kerusi yang bakal ditandingi setelah mendapat persetujuan secara kolektif daripada jawatankuasa pusat CEC PAP terlebih dahulu, ” ujarnya lagi.
Parti PAP adalah serpihan kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) berikutan krisis dalaman dan kepimpinan parti (DAP).
Pada 30 Oktober 2015 pendaftaran PAP diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) serta dilancarkan pada 5 Disember 2015 oleh Presiden PAP, Zukifli Mohd Noor di Hotel Quality, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.[