Hasrat Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk tetap membubarkan Parlimen dianggap telah menambah beban kepada rakyat tatkala beberapa tempat dalam negara sudah menunjukkan bencana banjir akan melanda.
Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang berkata, walaupun pembubaran Parlimen kononnya bertujuan untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil, namun Umno tidak pernah bertindak sedemikian.
Beliau melihat Umno yang merupakan sebahagian daripada kerajaan hari ini langsung tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan bagi membantu rakyat.
“Kejatuhan mata wang pada paras yang parah menunjukkan kualiti pemimpin daripada Umno baik sebagai perdana menteri dan juga menteri kewangan.
“Apa yang diulas hanyalah memberi kenyataan kononnya situasi tidak akan bertambah buruk tanpa mengumumkan sebarang dasar dan langkah yang konkrit untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama Chang mendakwa bahawa perdana menteri sekarang hanya dijadikan seperti ‘budak suruhan’ kepada segerombolan pihak yang rakus mahu berkuasa.
Beliau juga menyarankan agar Umno tidak memperalat situasi bencana demi meraih kepentingan sempit parti mereka.
“Sewajarnya Umno bermuhasabah dan insaf dengan penyelewengan yang dibuat semasa pernah menjadi kerajaan.
“Malangnya, Umno parti yang tidak pernah insaf dan rakyat perlu bangkit dan menghukum mereka,” katanya lagi.