PU Riz kongsi hadis tentang iktikaf, kesal dijerkah pak cik kerana baring dalam masjid

Oleh WAN SITI AMINAH

Pendakwah selebriti, PU Riz berkongsi kekecewaannya apabila dijerkah oleh seorang pak cik dipercayai ahli jawatankuasa sebuah masjid ketika menunggu waktu Maghrib, baru-baru ini.

Sedangkan ketika kejadian, pemilik nama sebenar Muhammad Haris Mohd Ismail itu hanya berbaring untuk berehat sementara menunggu waktu masuk, bukanlah mahu tidur semalaman di situ.

Pendakwah berusia 29 tahun itu bagaimanapun terkejut apabila individu berkenaan malah bertindak menjerit untuk melarangnya berbaring buat seketika atau beriktikaf.

Kejadian tersebut diceritakan semula oleh suami kepada selebriti terkenal iaitu Noor Neelofa itu menerusi hantaran dimuat naik di akaun Instagram miliknya, @hrisbismail.

“Pak cik-pak cik yang bertangungjawab menyelia masjid. Janganlah jerit saat orang iktikaf di masjid. Bukan tidur semalaman pun, hanya berehat sekejap untuk tunggu Maghrib.

“Dia mari dengan suara yang amat deras dan kuat. ‘Tak boleh tidur dalam masjid, orang marah!’. Siapa entah nak marah. Pak cik oii, nanti kang kalau kata balik, dia rasa kita biadap pula.

“Sengaja nak kongsi. Sebagai seseorang yang bukan selalu berkesempatan jemaah waktu maghrib dek kerana jalan sedikit sesak dan sebagainya, hari itu saja tunggu waktu solat,” tulisnya.

Jelas PU Riz yang mula dikenali selepas menjadi peserta program realiti agama iaitu Pencetus Ummah itu, tindakan kasar oleh pak cik berkenaan adalah kurang sopan.

Malah pada hantaran yang sama, pendakwah terbabit turut membuat perkongsian mengenai iktikaf terutama manfaatnya seperti dinyatakan di dalam hadis Nabi Muhammad SAW.

“Sudahnya terkejut kena jerit sebab baring di dalam surau. Sedih jugalah. Ada manfaat sebenarnya apabila tunggu waktu solat. Ada hadisnya.

“Sabda Nabi Muhammad SAW, ‘menunggu waktu solat itu adalah dituntut di dalam agama dan juga iktikaf. Buat apalah kita buat masjid tetapi tak benarkan orang duduk sekejap,” kata PU Riz dalam hantaran itu.

Baca juga: “Kalau ikut harga bayaran, dah lama saya berhenti berlakon” – Cik Man akui lebih memilih skrip