Puas fikir cara simpan lengkuas terlebih beli agar kekal segar? Cuba petua ini tak perlu tukar air!

Oleh WAN SITI AMINAH

Lengkuas adalah salah satu jenis rempah ratus yang agak penting bagi menambah rasa dan aroma dalam masakan khususnya buat masyarakat Melayu.

Walau bagaimanapun, tidak terlalu banyak hidangan yang memerlukan rempah ini sehingga membuatkannya jarang digunakan lalu dilupakan dan dibiarkan kecut di dalam peti ais.

Lebih menyukarkan keadaan, saiz lengkuas yang begitu besar juga turut menjadi faktor penyumbang berlakunya pembaziran setiap kali tumbuhan tersebut dibeli daripada kedai runcit atau pasar.

Prihatin dengan kegusaran ramai, seorang wanita tampil memuat naik satu perkongsian di platform Facebook mengenai petua rahsia bagi menyimpan lengkuas supaya tahan lama.

“Ini petua simpan lengkuas. Sengaja kongsi petua dapur. Rasanya ramai yang tahu. Tetapi tidak mengapalah, Kak Zah nak berkongsi kepada pengikut yang muda-muda.

“Lengkuas ini kegunaannya agak jarang juga kan. Tetapi kalau tiada lengkuas, tak sedap pula singgang dan rendang. Lengkuas jual di kedai seketul gedabak besar.

“Tetapi setiap kali guna, ambil lima atau enam hiris sahaja. Sini Kak Zah ajar cara nak simpan lengkuas,” katanya yang menggunakan akaun Facebook bernama Faizah Husain.

1. Basuh lengkuas daripada kesan-kesan tanah dahulu. Kemudian, buang kulit dan hiris habis tumbuhan itu. Selepas itu, cuci semula hirisan tersebut sekali lagi.

2. Susunkan semua hirisan di atas bekas leper (seperti penutup periuk). Jangan bertindih atau sentuh satu sama lain. Kemudian simpan di dalam peti beku.

3. Apabila hirisan menjadi keras seperti air batu, keluarkan hirisan itu dan cepat-cepat memasukkannya ke dalam bekas ataupun plastik ziplock sebelum ia berair.

Tujuan dibekukan terlebih dahulu adalah supaya lengkuas tak melekat antara satu sama lain ketika diambil dari dalam peti. Tidak perlu proses defrost (dinyahbeku) lagi.

4. Simpan semula dalam peti beku. Tahan berbulan-bulan jika tidak digunakan untuk memasak. Lebih mudah berbanding cara rendaman kerana perlu menukar air selalu.

Selamat mencuba! Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada pembaca terutamanya bagi mereka yang mencari cara untuk menyimpan tumbuhan ini selepas terlebih beli.

Baca juga: Wanita kongsi rahsia nasi minyak bau harum, rupanya kena masukkan satu bahan ni…