Puas hati kereta berlogo jata negara kena ‘clamp’

Oleh KIM SYAZIE

Orang ramai meluahkan rasa puas hati selepas sebuah kenderaan milik sebuah agensi kerajaan, dikunci tayar (clamp) oleh pihak berkuasa kerana meletakkan kereta sesuka hati di kawasan larangan.

Pengguna Threads, Rahmat Mokhtar berkongsi gambar sebuah kenderaan dengan berlogokan jata negara yang sepertinya diparkir di tepi jalan yang tidak mempunyai kotak parkir.

Menurutnya, suasana ketika itu turut menjadi perhatian orang awam di sekitar lokasi yang kemudian bersorak selepas petugas penguat kuasa meneruskan tindakan mengunci tayar kenderaan tersebut.

“Benda paling puas hati saya tengok hari ni. Ibarat doa orang teraniaya sebab banjir termakbul. 

“Serba salah Nepal tu nak kunci tayar kereta ni tadi. Satu kedai bersorak suruh kunci tayar. Kau ingat kau ada logo jata negara kau kebal,” katanya sambil memaklumkan kejadian berlaku di Cyberjaya.

Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang rata-rata menyokong tindakan penguatkuasaan tersebut.

Mereka menyifatkan ia sebagai peringatan bahawa undang-undang terpakai kepada semua tanpa mengira status atau simbol yang digunakan.

Baca juga: Nenek tinggal RM206 lepas langgar kereta, pemuda pulangkan semula selepas tahu kisah sebenar