Pukul 2 ‘bodyguard’ sebab puasa, majikan dipenjara 6 tahun 10 bulan, denda RM22,000

Oleh MALAYSIADATELINE

Pernah tular isu majikan pukul, hina dan mengugut pembantu peribadi empat tahun lalu hanya disebabkan mereka berpuasa.

Semalam, Mahkamah Majistret Klang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun 10 bulan dan denda RM22,000 kepada tertuduh, Chung Chee Yang yang juga seorang ahli perniagaan.

Ini adalah selepas Majistret Siti Zubaidah Mahat mendapati pembelaan yang mewakili tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan terhadap semua pertuduhan pindaan.

Disebabkan itu, dua pengawal peribadi berkenaan Mohd Azminizam Zulkepli dan Ahmad Shamsuri Zailani meluahkan rasa syukur dengan hukuman diterima bekas majikannya lapor Berita Harian.

Kongsi Mohd Azminizam, sehingga kini dia masih mengalami trauma akan kejadian yang menimpa dirinya meskipun ia berlaku pada 2021.

“Niat saya adalah untuk menyempurnakan ibadah Ramadan namun sebaliknya dihina dan dicederakan majikan ketika itu.

“Alhamdulillah, doa saya dan keluarga dimakbulkan Allah apatah lagi keputusan mahkamah ini juga pada bulan puasa,” katanya sperti dipetik Berita Harian.

Buat Ahmad Shamsuri, dia menganggap penat lelahnya ke mahkamah selama empat tahun itu akhirnya berakhir dengan kegembiraan.

“Ia adalah keadilan buat kami dan perjuangan kami selama ini tidak hanya sia-sia. Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang terus menyokong dan mendoakan kami,” katanya.

Baca juga: Mimi Fly buat panel Geng Ngaji tercengang, bacaan surah Al-Jaathiyah banjir pujian