Pula dah…majlis agama di Indonesia penuh dengan penjaja teh ais lepas viral kes Gus Miftah

Oleh KIM SYAZIE

Sejak heboh kisah pendakwah Indonesia, Gus Miftah dengan seorang penjaja teh ais, suasana di sebuah majlis ceramah berubah mendadak apabila tempat itu dikerumuni penjual air minuman.

Media Indonesia melaporkan, ketika majlis ceramah berlangsung yang ketika itu menampilkan penceramah Gus Iqdam, suasana agak aneh apabila secara tiba-tiba lokasi itu menjadi tumpuan peniaga teh ais yang lalu lalang di sekitar orang ramai yang sedang duduk.

Video memaparkan suasana itu turut tular di media sosial, dipercayai dirakam pada 8 Disember lalu.

Dikatakan, Gus Iqdam turut membeli minuman daripada penjaja yang ada dan mengagihkannya kepada para tetamu yang hadir ke majlis tersebut.

Media Indonesia melaporkan, Gus Iqdam sempat berasa pelik kerana jumlah penjual teh ais semakin ramai sampaikan ada yang mula jalan ke hadapan barisan hadirin untuk menawarkan jualan mereka.

Bagaimanapun Gus Iqdam tidak menghalau mereka, sebaliknya menenangkan suasana dengan mengumumkan bahawa sesi selawat bakal bermula.

Sejurus sahaja sesi selawat itu dimulakan, penjual-penjual tersebut terus beredar.

Tidak pasti apa tujuan mereka berbuat demikian, sama ada sebagai tanda solidariti kepada Sunhaji, pejual teh ais yang dimalukan Gus Miftah atau mempunyai niat sebaliknya.

Sementara itu meninjau ke ruangan komen pada video tular yang diperkatakan ramai, ternyata pengguna media sosial berbelah bahagi melihat situasi itu.

Mereka antara lain menasihatkan supaya bekerja dengan ikhlas kerana semua boleh meniru cara berniaga tetapi tidak semua boleh mendapatkan rezeki yang sama.

Ada juga mendakwa penjual-penjual ini hanya “mencuba nasib” untuk kemungkinan peroleh durian runtuh.

“Cari rezeki biar ikhlas. Semua boleh tiru niaga, tapi tak semua dapat rezeki yang sama,” kata pengguna TikTok.

“Kalau macam gini orang dah tak kesian dah ” komen pula individu lain.

Video itu sehingga kini meraih lebih 5.4 juta tontonan.

Baca juga: Wanita bergaji RM4,000 lebih menyesal beli Honda City, anggap kesilapan terbesar dalam hidup