Kerajaan negeri Pulau Pinang tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan terus berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan situasi penularan pandemik di negeri itu sentiasa berada dalam keadaan terkawal.
Menurut Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah diarahkan supaya memantau situasi dan keadaan semasa meliputi tren penularan, kadar R-naugt (Rt) serta tempoh masa respon bertindak bagi mengelakkan peningkatan kes secara mendadak sehingga melumpuhkan sistem kesihatan negeri.
“JKNPP dan setiap agensi berkaitan juga diminta supaya bersedia dan memobilisasikan segala kemudahan dalam menghadapi peningkatan laporan kes khususnya membabitkan varian Omicron.
“Sehubungan itu, dengan pengoperasian 100 buah klinik swasta, 10 tapak off-site dan program-program outreach yang dijalankan semua daerah, JKNPP digesa supaya mempercepatkan kadar suntikan dos penggalak di negeri ini.
“Adalah diyakini Pulau Pinang mampu mencapai sasaran ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia menjelang akhir Februari tahun ini serta turut ditekankan tiada polisi ‘walk-in’ dibenarkan dan semua janji temu adalah menerusi aplikasi MySejahtera bagi mengelakkan kesesakan di pusat-pusat pemberian vaksin,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.