‘Pusat tahfiz tidak boleh bergayut pada dahan agama’

Oleh ARIF ATAN

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin menyeru pengusaha pusat tahfiz agar berlapang dada dengan kritikan berhubung kualiti institusi pengajian itu.

Menurutnya, banyak aspek berkaitan pusat tahfiz yang perlu diperbaiki dan bukannya menggunakan agama sebagai dalih untuk menutup kelemahan.

“Pengusaha pusat tahfiz mesti akur, pusat tahfiz mereka banyak, bahkan sangat banyak kelemahan yang mesti diperbaiki. Bukan saja prasarana fizikal, tetapi pelbagai aspek lain terutama pedagogi pendidikan.

“Pusat tahfiz tidak boleh bergayut pada dahan agama, kemudian menarik sentimen orang ramai untuk bergayut pula pada dahan mati syahid untuk memperjudikan nyawa dan masa depan anak-anak,” ujarnya.

Mengulas satu kuliah agama seorang ustaz dari Kodiang, Kedah baru-baru ini yang mengecam kritikan Mufti Perlis berhubung isu keselamatan membabitkan pusat tahfiz, beliau menggesa agar teguran Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin itu diterima secara positif.

“Terdengar kuliah agama seorang ustaz dari Kodiang (baca Kokdiang) yang membalas kritikan Mufti Perlis berhubung isu pusat tahfiz yang mengabaikan aspek keselamatan sehingga menyebabkan korban nyawa, terasa seperti bukan termendengar kuliah agama, tetapi termendengar maki hamun agama.

“Jika fokus ustaz itu ialah menghuraikan hadis (?) berkaitan galakan menghormati ulama, hurailah secara ilmu, beretika dan menghormati pendengar kuliahnya. Jika nak jawab komentar Mufti Perlis dalam isu itu, jawablah juga secara berhemah dan profesional,” tegasnya.

Dr Asri sebelum ini dilapor berkata, soal kecuaian dan penipuan mana-mana pihak yang bertangungjawab mesti dipertanggungjawabkan kerana nyawa anak-anak tahfiz lebih bernilai.

Jika mereka masih hidup tentu banyak sumbangan yang boleh diberikan, ujarnya, dipetik dari Astro Awani pada hari sama dengan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 21 nyawa pelajar dan dua guru, 14 September lalu.

Beliau turut mendedahkan wujudnya sebahagian pengusaha pusat tahfiz yang bergaya hidup mewah tetapi sekolahnya begitu daif walaupun derma orang ramai mencurah-curah.

Mengulas lanjut, Ustaz Zolkharnain berkata, sekiranya Mufti Perlis itu mempunyai hak untuk mengkritik, pihak yang terlibat juga memiliki hak untuk menjawab.

“Saya tidak nampak sebarang kejelekan dalam kritikan Mufti Perlis dalam isu ini. Justeru, mengapa perlu direspon dengan mengungkit perkara lama yang tiada kaitan dengan isu,  meremehkan keluarga dan menyerang peribadi secara keterlaluan? Jawab isu yang berbangkit cukuplah.

“Dalam banyak hal, kritikan Mufti Perlis terhadap pusat tahfiz dan pengusahanya adalah benar. Pusat tahfiz terabai aspek keselamatan, tapi pengusahanya pakai VW model baru.

“Bukan salah pakai VW, tapi seiringkan ‘life style’ pengusaha yang pakai VW dengan langkah keselamatan anak-anak tahfiz. Itu saja isunya,” jelas bekas pegawai di Jabatan Hal Ehwal Agama di Perlis itu dipetik daripada kenyataannya di Facebook.

Menurutnya, pengusaha pusat tahfiz mesti membuktikan secara praktikal bukan secara sumpah seranah bahawa pusat tahfiz mereka tidak seperti yang dikritik oleh Mufti Perlis bahkan lebih baik daripada pusat pengajian yang Dr Asri dan rakan-rakannya usahakan.

“Bahkan, saya sarankan supaya pengusaha pusat tahfiz mengadakan hubungan atau MoU (memorandum persefahaman) dengan pusat pengajian yang diusahakan oleh Mufti Perlis dan rakan-rakannya melalui langkah perkongsian pintar.

“Anak-anak adalah harta negara, agama dan umat. Kudrat, potensi dan nyawa mereka tidak seharusnya diperjudikan untuk memenuhi keghairahan pengusaha pusat tahfiz yang punya agenda tersendiri yang kadang-kadang berselindung di sebalik nama tahfiz al-Quran.

“Memang ada pengusaha tahfiz yang tulus, jujur dan punya tujuan terpuji, tapi tak boleh dinafikan ada yang bertujuan sebaliknya,” katanya.

Pada masa sama, Ustaz Zolkharnain berharap masyarakat tampil berani untuk mengkritik institusi agama termasuk institusi tahfiz, masjid, jabatan agama bahkan jabatan mufti jika memberi imej dan persepsi kurang baik kepada Islam.

“Agama ini milik semesta alam, bukan milik mufti, jabatan agama, pusat tahfiz atau agamawan. Rahmat agama tiada sempadannya.

“Agama bak hujan yang menyirami apa dan sesiapa saja tanpa pilih kasih. Jika sayangkan agama, berilah hak kepada agama untuk menjadi rahmat bukan menjadi candu kepada umat,” ujarnya lagi.