Puteri Sarah dakwa ada pihak cuba lagakan hubungan dengan mentua, ini respon ibu Syamsul Yusof

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon sensasi, Puteri Sarah Liyana mendakwa ada pihak tertentu cuba untuk meruntuhkan hubungan baiknya dengan keluarga bekas suaminya iaitu pengarah, Syamsul Yusof.

Menurut pelakon berusia 39 tahun itu, pihak terbabit juga bertindak menyebarkan perkara-perkara yang tidak benar atau berunsur fitnah dalam usaha untuk melaga-lagakan keluarga mereka.

Perkara tersebut didedahkan oleh pemilik nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu menerusi satu hantaran di Instagram Story tanpa memberi penjelasan secara terperinci mengenai dakwaannya.

Dalam hantaran yang sama, Puteri Sarah juga meletakkan ‘tagging’ akaun Instagram milik ibu bapa Syamsul iaitu pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam serta isterinya, Datin Patimah Ismail.

“@patimah8057 Mama, @dyhaslam Papa, rasanya ada manusia nak porak-perondakan keluaga kita dengan fitnah macam-macam. Nak melagakan satu keluarga pula,” katanya dalam hantaran itu.

Perkongsian yang dimuat naik oleh Puteri Sarah di Instagram Story.

Susulan pendedahan itu, Datin Patimah turut mengulang siar semula hantaran Puteri Sarah dengan menitipkan doa untuk pelakon terbabit dan anaknya yang juga cucunya iaitu Syaikhul dan Sumayyah.

“Tabahkan dirinya (Puteri Sarah) untuk menghadapi ujian. Semoga Allah beri kekuatan dan kebahagiaan untuknya bersama anak-anak.” Tulis Datin Patimah dalam hantaran di Instagram Story miliknya.

Untuk rekod, Puteri Sarah pernah mendirikan rumah tangga dengan Syamsul pada 8 Mac 2014 sebelum dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Summayah yang kini berusia lima tahun.

Pasangan itu bagaimanapun sah bercerai talak satu selepas lapan tahun berumah tangga pada 14 Jun 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Perceraian difailkan oleh Puteri Sarah selepas Syamsul mendedahkan dirinya telah menikah sekali lagi dengan Ira Kazar yang sebelum ini dikenali ramai sebagai personaliti media sosial pada 6 Januari, tahun lalu.

Namun perkahwinan Syamsul dan Ira juga tidak bertahan lama apabila Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor pada 5 September lalu mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik yang dilafazkan pengarah terbabit kepada isterinya.

Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib mengesahkan perkara itu selepas Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin selaku plaintif memfailkan lafaz cerai taklik pada 21 Ogos lalu sekali gus jatuh talak satu.

Baca juga: Tepis dakwaan untung syarikat RM40 juta, ini penjelasan Wawa Zainal