Qariah Malaysia dirai dalam majlis kesyukuran

Oleh MALAYSIADATELINE

 Qariah Malaysia, Nor Farhatul Fairuzah Panut diraikan dalam majlis kesyukuran yang diadakan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, tempat beliau menimba ilmu, malam ini.

Majlis yang diadakan secara sederhana di Surau Imam As-Shafie itu dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun bersama isteri Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.

Turut meraikan Nor Farhatul Fairuzah, 19, ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar negeri Ismail Ahmad serta 300 pelajar dan guru sekolah berkenaan.

Pada majlis itu, Aminuddin menyampaikan replika cek bernilai RM10,000 kepada Nor Farhatul Fairuzah atas kejayaan beliau.

Terdahulu, pada majlis tersebut, Qariah Antarabangsa itu turut memperdengarkan alunan ayat suci al-Quran kepada semua hadirin selepas jemaah selesai menunaikan solat maghrib.

Pada 20 April lepas, Nor Farhatul Fairuzah diumumkan johan kategori tilawah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-61 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau sebelum itu juga turut dinobatkan sebagai johan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440/2019M, pada 22 Mac lepas yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini.

Pada Sabtu lalu, Nor Fahatul Fairuzah menerima anugerah Tokoh Belia Harapan Negeri Sembilan pada sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Sembilan 2019 yang disampaikan oleh Aminuddin.

Beliau membawa pulang replika cek berjumlah RM500.- BERNAMA