Rafizi desak Ahmad Zahid dedah perjanjian konsesi di bawah pentadbiran PM

Oleh MALAYSIADATELINE

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli menyeru Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan semua penswastaan yang diluluskan oleh Perdana Menteri dan mengambil tindakan mengadakan perundingan semula ke atas perjanjian-perjanjian konsesi yang membebankan rakyat.

Rafizi berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Ahamd Zahid, semalam, yang menyalahkan pentadbiran bekas perdana menteri, Tun Mahathir Mohammad sebagai punca kerajaan terikat dengan perjanjian-perjanjian konsesi tersebut.

“Saya setuju dengan beliau (Ahmad Zahid) banyak perjanjiaan konsesi lebuh raya diluluskan oleh pentadbiran Tun Mahathir, tapi itu tidak bermakna bahawa pentadbiran sekarang di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak mampu berbuat apa-apa untuk merundingkan kembali perjanjian itu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pandan ini juga mendedahkan PKR katanya, telahpun mencadangkan langkah untuk melindungi kepentingan rakyat pada Pilihanraya Umum ke-13 lalu.

Antaranya Rafizi menyenaraikan Penubuhan sebuah Suruhanjaya Awam (Public Agreement Commission) untuk menyemak kembali semua perjanjian dengan pihak swasta yang melibatkan kepentingan awam

“Berdasarkan laporan cadangan suruhanjaya itu kerajaan boleh mula merundingkan kembali dengan pemegang-pemegang konsesi ini untuk mengubah perjanjian agar berlaku adil kepada rakyat.

“Apatah lagi sebahagian syarikat konsesi ini pemegang sahamnya dimiliki sepenuhnya oleh badan kerajaan seperti PLUS dan Prolintas atau saham syarikat ini turut dipegang oleh badan pelaburan kerajaan seperti KWSP, PNB dan lain-lain.

“Sudah tentu ada ruang untuk merundingkan kembali perjanjian-perjanjian ini,” ujarnya.

Namun telahannya, cadangan itu sedikitpun tidak diendahkan oleh Perdana Menteri.

“Saya khuatir sekiranya tidak dibendung pentadbiran Najib sebenarnya akan menganugerahkan lebih banyak perjanjian konsesi yang membebankan rakyat di masa akan datang lebih-lebih lagi di bawah pentadbiran Tun Mahathir dan Tun Abdullah Badawi ketika itu,” ujarnya.

Sebelum ini Rafizi juga telah mendedahkan bagaimana kampus-kamus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di cawangan Kota Samarahan, Pasir Gudang, Selandar, Seremban 3,Puncak Alam dan Tapah telah diswastakan melalui perjanjian konsesi selama 23 tahun.

“Saya juga pernah mendedahkan rundingan penswastaan Hospital UiTM di Puncak Alam melalui konsep konsesi yang dijangka menelan belanja berkali ganda lebih mahal berbanding kos membinanya.

“Itu tidak termasuk perjanjian konsesi lebuh raya baru seperti EKVE, SUKE,WCE dan lain-lain serta hospital-hospital baru.

“Malah kita tidak tahu berapa banyak kemudahan kerajaan seperti balai polis, hospital secara tersembunyi diswastakan melalui konsep konsesi di bawah pentadbiran Najib,” jelasnya.