Raghad dakwa dihalang masuk rumah di Kuching, mahu ambil tindakan undang-undang?

Oleh WAN SITI AMINAH

Isteri kepada Allahyarham Abdul Taib Mahmud, Toh Puan Raghad Kurdi mendakwa telah dihalang masuk ke dalam kediamannya di Kuching ketika ingin menziarahi pusara suami yang juga bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Menerusi satu hantaran di laman Instagram, Raghad memaklumkan kejadian berlaku pada minggu lalu ketika beliau terbang ke Kuching untuk menghadiri satu majlis di Satok sebelum memandu pulang ke rumahnya.

Bagaimanapun sebaik tiba di kediaman tersebut, pengawal keselamatan bertugas tidak membenarkan wanita itu masuk untuk menziarahi pusara suaminya yang meninggal dunia pada 21 Februari lalu.

“Selepas Majlis Tautan Kasih Tun Taib di Satok, saya memandu pulang ke rumah tetapi terkejut apabila tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah saya sendiri! Kami telah dihalang di pintu pagar.

“Pengawal memberitahu, mereka tidak mempunyai kebenaran untuk membenarkan saya masuk. Tetapi Alhamdulillah, pengawal yang baik hati telah membenarkan juga saya masuk,” katanya dalam hantaran tersebut.

Raghad juga mendakwa, pengawal keselamatan itu telah dipecat akibat tindakannya yang membenarkan pelawat masuk ke rumah tanpa mendapat kebenaran daripada pihak majikan.

Dalam hantaran sama, balu kepada Allahyarham Taib Mahmud itu turut memuat naik beberapa keping gambar ketika berada di pintu pagar kediaman bersama pengawal keselamatan sebelum melawat pusara suaminya.

Susulan daripada kejadian itu, Raghad dikatakan telah membuat satu laporan polis selain permohonan yang perlu di mahkamah namun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai tindakan undang-undang tersebut.

“Saya melakukan semua ini dengan berat hati, bukan untuk membuktikan apa-apa kepada sesiapa. Beliau (Taib) suami saya. Tetapi saya perlu merekodkan perbuatan memalukan yang dilakukan dan menuntut keadilan.

“Saya tahu sebelum ini, saya tidak pernah berkongsi cerita. Tetapi saya rasa, sudah tiba masanya untuk berbuat demikian.” Ujar Toh Puan Raghad Kurdi dalam hantaran berkenaan.

Terdahulu, Taib Mahmud yang meninggal dunia pada 21 Februari lalu itu dikebumikan bersebelahan kubur isteri pertamanya di tanah perkuburan keluarga di kediaman peribadi mereka di Demak Jaya.

Baca juga: Gagal lunaskan pinjaman persahabatan, Jovian Mandagie diarah bayar RM10 juta kepada dua syarikat