Ragut beg kanak-kanak berisi wang RM2, lelaki ini dihukum penjara 9 tahun

Oleh WAN SITI AMINAH

Demi mendapatkan sebotol minuman keras, seorang lelaki sanggup meragut beg kanak-kanak yang hanya berisi wang bernilai RM2.

Akibat daripada kejadian ragut tersebut, kanak-kanak malang berkenaan dilaporkan telah mengalami kecederaan luka di bahagian leher.

Menerima padah di atas perbuatannya, peragut tersebut perlu berdepan dengan hukuman penjara selama sembilan tahun jika didapati bersalah.

Ketika kejadian berlaku, lelaki yang berada di dalam keadaan setengah mabuk itu terlihat seorang kanak-kanak sedang bermain di hadapan rumah.

Suspek yang sedang menunggang motor itu kemudian membuat keputusan untuk meragut beg kanak-kanak yang bersendirian itu.

Hal ini kerana, pelaku yang dikatakan mengalami ketagihan arak itu memerlukan wang tambahan untuk membeli minuman keras.

Memetik laporan Tribun News, kejadian ragut itu difahamkan berlaku di kawasan Bandung, Jawa Barat, Indonesia pada 9 Ogos lalu.

Sebelum meragut, pelaku mengaku melihat mangsa memasukkan wang berjumlah 50,000 rupiah (RM15.16) ke dalam beg tangan miliknya.

Namun begitu, peragut berkenaan terkejut setelah mendapati wang yang berada di dalam beg tangan itu hanyalah bernilai 7,500 rupiah atau RM2.27.

Kejadian tersebut disahkan oleh Ketua Unit Siasatan dan Jenayah dari Balai Polis daerah Bandung, Oliestha Ageng Wicaksana.

Oleh kerana mangsa mengalami kecederaan, Oliestha memaklumkan bahawa pelaku yang mempunyai rekod jenayah itu bakal dijatuhkan hukuman berat.

“Ancaman hukuman paling lama adalah sembilan tahun penjara. Wang yang berada di dalam beg tangan mangsa pada ketika itu ialah 7,500 rupiah.

“Namun, kita tidak fokus kepada jumlah wangnya melainkan kejadian yang meresahkan dan mengakibatkan luka di tubuh mangsa.

“Disebabkan itu, pihak kami akan menguruskan kes ini sesuai dengan undang-undang yang telah ditetapkan.” Katanya memetik Tribun News.

Baca juga: Dilarang masuk balai kerana pakaian, wanita labuhkan skirt guna sarung kusyen