Raih 2.7 juta tontonan, video anjing konon berkaki lumpuh buat orang geram – “Pulang air mata aku!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman yang mencuri perhatian ramai hingga berjaya meraih jutaan tontonan dalam masa singkat memaparkan gelagat seekor anjing ketika sedang berjalan di sekitar kawasan hutan.

Mana tidaknya, anjing yang berjalan sambil mengheret kedua belah kakinya di bahagian belakang itu berjaya mengundang simpati orang ramai ekoran menyangka haiwan tersebut sudah lumpuh.

Namun lain pula jadinya apabila haiwan itu secara tiba-tiba berjalan seperti biasa selepas perakam video seakan tidak memberi respon terhadap lakonannya selain mahu mengejar anjing lain yang jauh meninggalkannya.

Rakaman berdurasi 28 saat itu kemudian dikongsikan di akaun TikTok milik perakam yang mengakui merasa keliru sama ada dirinya sepatutnya bersimpati terhadap anjing berkenaan atau sebaliknya.

Setakat artikel ini ditulis, tinjauan mendapati perkongsian vido tersebut telah berhasil mendapatkan sebanyak 2.7 juta tontonan dan 94,800 tanda suka daripada pengguna TikTok.

Rata-rata pengguna mengakui masih lagi merasa simpati sehingga ada yang menitiskan air mata ketika menonton video tersebut walaupun sudah tergerak hati bahawa aksi anjing berkenaan adalah lakonan semata-mata.

Ramai juga pengguna tampil berkongsikan pengalaman peribadi mereka ketika menemukan haiwan termasuklah anjing yang gemar berlakon untuk meraih simpati ketika orang ramai berada di sekelilingnya.

Beberapa individu bagaimanapun berpendapat bahawa anjing berkenaan bukan sengaja bertindak sedemikian sebaliknya mempunyai alasan tersendiri seperti kakinya terasa gatal ataupun penat.

“Dekat tempat kerja saya juga ada seekor anjing macam ini. Kami panggil pelakon. Sebabnya apabila orang ramai, kaki dia mulalah sakit. Kalau tiada orang, bukan main lagi dia berlari,” kata seorang pengguna.

“Pulangkan air mataku!.” Kesal pengguna lain yang sempat merasa simpati terhadap nasib anjing berkenaan sebelum video tersebut berakhir dan memaparkan realiti sebenar berhubung keadaan haiwan itu.

Baca juga: “Risau nak makan, takut tinggal gusi je” – Netizen terkejut lihat kuih keria keras macam batu