Satu video yang menyentuh hati tular di media sosial selepas seorang pelajar Malaysia dikatakan tidak sempat membeli tiket pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan.
Video pelajar itu yang menjamah makanan sambil mengesat air mata membuatkan ramai turut bersedih.
Dalam klip video berdurasi 30 saat, memaparkan seorang pelajar yang mengenakan tshirt berwarna merah sedang menjamah hidangan sambil bergelak bersama rakan.
Namun senyumannya selepas itu terus menghilang sebelum air mata kelihatan mengalir di pipi.
Dia juga kelihatan agak sugul dan hanya mampu merenung makanan di atas pinggan.
Video menyentuh hati itu ternyata mendapat hampir dua juta tontonan dengan 200,000 tanda suka.
Menurut maklumat dikongsi pengguna TikTok di ruangan komen, pelajar itu sebenarnya belajar di Kedah dan kampung halamannya pula terletak di Terengganu.
“Owner belajar dekat Kedah nak balik Terengganu untuk raya. Nak beli tiket bas Kedah-Terengganu dah habis,” demikian maklumat yang dikongsi.
Menjengah ke ruangan komen, ternyata ramai yang turut meluahkan rasa sedih, memahami apa yang dilalui pelajar itu.
Tidak hanya itu, mereka juga pakat-pakat bertanya ke mana hala tuju pelajar berkenaan dan mempelawa untuk pulang bersama secara ‘carpool’.
Kebersamaan rakyat Malaysia dalam hal ini sebenarnya lebih menambahkan rasa terharu.
Dan yang terbaru dilaporkan pelajar berkenaan telah pun berjaya memperoleh tiket pulang ke kampung, yang kemudian disusuli dengan reaksi kelegaan dari pengguna media sosial.
Baca juga: Isu stoking Allah ada kaitan dengan kemasukan lelaki Israel? Baca kenyataan pakar pertahanan ini