Raih lebih RM800 juta dengan menipu, lelaki berdepan penjara 280 tahun

Oleh KIM SYAZIE

Hanya dengan menipu warga emas, seorang lelaki meraih lebih RM800 juta dengan skim penipuan.

Menurut MailOnline, lelaki tersebut menyamar sebagai ahli psikik dan menipu 56 juta warga emas Amerika Syarikat menerusi surat selama dua dekad.

Isi surat tersebut menyatakan mereka mampu membantu mangsa menjalani kehidupan lebih baik selepas membuat pembayaran.

Patrice Runner membeli tarikh dan tempat lahir mangsa-mangsanya daripada broker data bagi meyakinkan mereka terhadap kebolehan psikik sebelum meminta mereka membuat pembayaran untuk khidmatnya.

Skim penipuan tersebut berlangsung dari 1994 hingga November 2014, mengumpan warga emas dan mereka yang berada dalam keadaan terdesak.

Mangsa-mangsa diarahkan membuat pembayaran sekitar AS$5 hingga AS$50 (RM23.25 hingga RM232) untuk membeli pelbagai objek unik berkaitan alam ghaib yang sebenarnya amat murah.

Runner berdepan hukuman penjara sehingga 280 tahun dan akan kekal di dalam penjara sebelum dijatuhi hukuman pada satu tarikh yang akan diumumkan nanti.

Baca juga: Tegur warga Singapura isi minyak dalam tong, rider Grab pula yang hilang kerja