Drama bidaah yang agak kontroversi di negara ini meraih populariti luar biasa apabila menjadi drama nombor satu paling popular di platform penstriman bukan sahaja di Malaysia, malah di platform Viu Indonesia.
Drama terbitan Erma Fatima ini dilaporkan telah mengatasi drama bersiri Korea popular seperti Undercover High School, The Witch dan Study Group di platform Viu.
Sehingga kini ia berjaya memperoleh lebih daripada 134 juta tontonan serta 44 juta capaian di media sosial Viu Malaysia.
Walaupun naskhah itu mendapat ulasan negatif rakyat Malaysia, namun lain pula penerimaan masyarakat Indonesia yang berpendapat drama tersebut sangat relevan dan dekat dengan realiti kehidupan penonton Indonesia.
Bukan itu sahaja, memetik Sinar Harian, data daripada Google Trends menunjukkan drama Bidaah juga menjadi antara carian paling popular di Thailand, Singapura, dan Brunei.
Bidaah mengisahkan Baiduri (Riena Diana), seorang wanita muda yang dipaksa oleh ibunya, Kalsum (Fazlina Ahmad Daud), untuk menyertai Jihad Ummah, sebuah kumpulan agama yang dipimpin oleh Walid Muhammad (Faizal Hussein).
Namun, Baiduri segera menyedari terdapat banyak perkara mencurigakan di sebalik ajaran rohani kumpulan itu, termasuk perkahwinan paksa dan kepatuhan yang membuta tuli.
Kembalinya Hambali (Fattah Amin) dari Yaman, anak kepada orang kanan Walid, Abi Saifullah (Hasnul Rahmat), membuatkan Baiduri semakin yakin bahawa ajaran Jihad Ummah telah tersasar.
Bersama Hambali, Baiduri bertekad untuk melindungi ibunya dan membongkar kebenaran, walaupun nyawanya sendiri terancam.
Episod 1 hingga 9 siri ini kini boleh distrim di Viu. Berbaki 6 lagi episod dengan setiap episod baru disiarkan setiap hari Khamis, Jumaat, dan Sabtu.
Baca juga: Gadis cantik dari Vietnam fasih bertutur tiga bahasa termasuk bahasa Melayu buat ramai teruja