Datuk Seri Najib Razak sememangnya benar-benar sudah tidak ada sekelumit pun rasa malu dalam diri.
Status dia sebagai pesalah jenayah sudah pun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.
Kes dia ini telah diteliti oleh empat hakim yang berkaliber dan berpengalaman dalam institusi perundangan.
Lebih jelik lagi apabila seorang yang didapati bersalah dalam menyeleweng dana SRC dan dana negara Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) berucap dalam sebuah majlis yang merujuk kepada World Chinese Economic Forum (WCEF).
Tindakan jenayah penyelewengan dana rakyat oleh Najib sendiri disifatkan “national embarrassment” oleh Hakim Mahkamah Rayuan.
Hanya kelompok yang bersimpati kepada penjenayah yang akan menjemput seorang penjenayah untuk memberikan ucaptama dalam sesuatu acara atau majlis.
Mustahil untuk kita minta serigala untuk menjaga reban ayam sedangkan ayam itulah yang akan dilahap dan dilapah dengan gelojoh oleh serigala itu.
Apakah tujuan beliau berucap dalam forum ekonomi dengan hanya lebih menekankan tentang soal politik dan melemparkan tuduhan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah seorang rasis?
Ianya tidak lain dan tidak bukan hanyalah semata-mata untuk mendapatkan perlindungan dan sokongan daripada mereka yang bersimpati kepada penjenayah seperti dia.
Adakah rakyat Malaysia dan warga dunia perlu lebih percaya kepada seorang penjenayah yang telah didapati bersalah dan menanti hukuman penjara 12 tahun?
Apatah lagi bilamana kelompok rakan sekongkol dia adalah dari kawan-kawan yang terkait dengan pelbagai tuduhan jenayah.
Siapakah rakan sekongkol yang menjemput Najib untuk berucap dalam perihal ekonomi yang bukan merupakan bidang dia? Sudah tentulah ia orang yang berkepentingan.
Individu terbabit pernah menjadi suspek pada tahun 2019 dalam satu jenayah ugutan terhadap Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Jefrey Cheah.
Individu ini dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) hanya kerana ketidakhadiran pengadu iaitu Tan Sri Jefrey Cheah. Jadi, siapakah rakan Najib ini?
Dengan status DNAA, bila-bila masa saja siasatan dibuka kembali serta diteruskan dan tuduhan masih boleh dibuat semula.
Jadi, apakah kewajaran dan logiknya untuk rakyat mendengar tohmahan jahat yang dilemparkan kepada Tan Sri Lee Kim Yew yang dituduh sebagai kroni penyamun Tun Dr. Mahathir Mohamad?
Soalnya, siapa yang telah mempunyai rekod dihadapkan dengan pertuduhan jenayah di mahkamah? Bukankah mereka itu Datuk Seri Najib Razak dan Cheah Chyuan Yong yang dilihat berjalan seiringan dalam majlis WCEF lalu?
Penglibatan Tun Dr Mahathir dalam apa jua perniagaan hanyalah beberapa tahun setelah beliau meletakkan jawatan. Ini amat berbeza dengan keadaan Najib Razak yang menerima ratusan juta Dolar Amerika ke dalam akaun peribadi semasa dia masih menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima.
Jumlah wang yang diterima daripada Blackstone Asia (BVI) lebih USD850 juta sebelum pilihan raya umum dan diwujudkan watak Sheikh palsu Arab Saudi “Saud Abdulaziz Majid al-Saud” bagi menghalalkan dana yang dia terima tersebut.
Adakah menerima dana yang diragui sumbernya jauh lebih baik daripada berniaga? Najib Razak telah pun dibuktikan bersalah dan terdesak untuk memburukkan imej pemimpin yang disegani dunia luar.
Penjenayah hanya akan bersekongkol dengan rakan jenayah lain dan akan berusaha dengan apa cara sekalipun termasuk melengah-lengahkan pelupusan kes di mahkamah semata-mata untuk menyucikan dirinya dari kejahatan yang telah dilakukan.
Itulah hakikat kehidupan seorang penjenayah yang sanggup mengkhianati agama, bangsa dan tanah air.
*AKIF RUSLI merupakan Ketua Penerangan Pejuang Muda Malaysia (Pejuang).