Pendaki Juliana Marins rupa-rupanya masih menunjukkan tanda-tanda hidup ketika baru sahaja terjatuh dari tebing Gunung Rinjani, dekat Lombok, Indonesia baru-baru ini.
Rakaman itu didedah seorang pendaki Malaysia Xiao E Ching yang pada waktu itu berada di kawasan kejadian.
Dia antara orang terawal yang membantu dalam proses menyelamat, dan rakaman yang diperoleh adalah dari dron miliknya
Kongsinya, ketika kejadian pada pagi Sabtu, 21 Jun lalu, dia dan beberapa rakan sedang menuruni gunung sekitar pukul 10 pagi sambil merakam gambar menggunakan dron DJI Mini 3 Pro.
Ketika itu, mereka terdengar jeritan beberapa individu yang kelihatan cemas.
“Kami sangka mereka bertanya tentang rakaman dron, tetapi apabila kami mendekati mereka, mereka memberitahu bahawa seorang wanita terjatuh dari tebing dan perlukan bantuan segera,” katanya dalam perkongsian di Instagram @natadecoco_ee
Pada waktu itu dia diberitahu bahawa kejadian berlaku sekitar pukul 5.30 hingga 6 pagi.
Pendaki yang lain juga sudah menghubungi pasukan kecemasan, tapi belum ada tindakan.
Tanpa berlengah, E Ching dan rakan-rakannya menggunakan dron untuk mengesan lokasi mangsa. Dalam percubaan kedua, mereka berjaya mengenal pasti Juliana yang terbaring kira-kira 200 hingga 300 meter di bawah tebing.
Dalam rakaman itulah terlihat keadaan Juliana yang masih bergerak dan kelihatannya beberapa kali memandang dron yang diterbangkan oleh E Ching.
Operasi untuk menyelamatkan Juliana kemudian berakhir dengan kedukaan apabila dia ditemui maut.
Gunung Rinjani, gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia, menarik ribuan pendaki setiap tahun.
Namun, laluan yang mencabar serta cuaca yang tidak menentu telah menyebabkan beberapa kejadian berisiko tinggi termasuk insiden tragis melibatkan kematian Juliana Marins, pada 21 Jun.
Baca juga: Keluarga terpaksa pasang tali di pusara Nurly Shahirah, pelawat buat benda khurafat