Rakyat Kedah mahu Mukhriz kekal, tumpu masalah rakyat

Oleh BORHAN AHMAD

Dalam keadaan rakyat terbeban dengan krisis ekonomi negara, tiada apa yang diharapkan selain mempunyai pemimpin yang memahami dan mengutamakan keperluan mereka.

Kenaikan harga barang, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), pengurangan subsidi dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan ditandatangani bukanlah permulaan yang baik bagi tahun 2016.

Dalam kesuraman rakyat berhadapan tahun yang semakin mencabar, berlaku pula krisis politik di Kedah yang menimbulkan kekecewaan dalam kalangan rakyat negeri jelapang padi itu.

Kemunculan sekumpulan 14 Ketua Bahagian Umno Kedah yang menolak kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah dilihat tidak kena pada masanya oleh rakyat negeri itu.

Anak kelahiran Baling, Busyra Hussain, 29 lebih risau tentang nasib rakyat miskin di Kedah yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang khususnya di Baling sendiri.

Dia secara peribadi tidak terlalu kisah mengenai siapa yang menjadi pemimpin asalkan mementingkan keperluan rakyat berbanding menjaga kuasa mereka.

“Krisis ini sangat menyusahkan rakyat Kedah lebih-lebih lagi dalam kegawatan ekonomi sekarang. Saya sebagai rakyat Kedah dah tak berapa nak kisah sangat siapa yang nak perintah Kedah selagi dia tak buat hal-hal maksiat. Yang penting kebajikan rakyat terjaga.

“Orang kampung saya di Baling memang kebanyakan orang susah. Ramai penoreh getah. Setiap hari fikir nak makan apa, anak boleh makan tak esok. Mereka lebih perlukan pemimpin yang memahami kesusahan mereka,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Busyra seorang guru di sebuah sekolah tahfiz turut mengakui selesa dengan kepimpinan Mukhriz yang merakyat dan tidak terpalit dengan kontroversi.

Beliau berkata, Mukhriz dipilih oleh rakyat justeru hanya rakyat yang berhak menentukan beliau layak atau tidak untuk memimpin negeri itu.

“Saya rasa cara ketua-ketua bahagian Umno itu tidak betul. Datuk Seri Mukhriz dipilih rakkyat jadi biar rakyat yang putuskan beliau layak atau tidak,” ujarnya sambil berharap krisis politik di Kedah akan berakhir dengan baik dan tidak menjejaskan kebajikan rakyat.

Bagi Mohd Zulfadli Hussin, 32 dari Kota Sarang Semut, dalam situasi semasa dia setuju Mukhriz dikekalkan sebagai menteri besar berdasarkan penerimaan rakyat Kedah sendiri.

“Datuk Seri Mukhriz lebih dikenali masyarakat, merendah diri nampak ada perubahan dalam pentadbiran contohnya rakyat Kedah lebih bebas berniaga dan mempunyai peluang yang luas.

“Krisis ini berpunca dari dalam Umno Kedah sendiri dan mungkin ada watak utama yang merancang krisis ini,” katanya yang bekerja dalam bidang videografi.

Justeru beliau menyarankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan krisis ini secara matang dengan mengambil kira situasi rakyat Kedah.

“Suara rakyat Kedah paling penting dalam menyelesaikan krisis ini. Bergantung juga kepada sultan untuk menentukan perlu atau tidak pembubaran Dun.

“Umno menang di Kedah kerana meletakkan nama Mukhriz, jika Mukhriz ditukar Umno di Kedah akan kalah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi rakyat Kedah, Zaidi Hassan, 48, dari Merbok berkata berdasarkan perbualan dia dengan rakan-rakannya, ramai yang tidak bersetuju untuk menukar menteri besar terutamanya orang muda.

“Orang muda lebih suka Mukhriz. Mereka tak suka Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang tak mesra orang muda.

“Kebanyakan yang setuju tukar menteri besar itu muka-muka yang kalah dalam pilihan raya ke-13,” kata jurugambar bebas ini.

Zaidi turut menambah, rakyat sudah bosan dengan Umno yang diterajui Najib yang dilihat gagal menyelesaikan masalah pentadbiran dan ekonomi negara.

“Rakyat nak tukar perdana menteri. Kos hidup meningkat, GST cekik poket rakyat, masalah pengangguran dan pembuangan pekerja, semuanya lebih menyusahkan hati rakyat berbanding perebutan kuasa antara pemimpin Umno,” katanya.

Rabu lalu, Timbalan Pengerusi Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah mendakwa bahawa 14 daripada 15 bahagian Umno di negeri itu telah hilang kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Ketua Umno Kedah.

Bashah menggesa Presiden Umno untuk menggantikan Mukhriz kerana gagal untuk menyatukan parti dan jentera di semua peringkat dan gagal untuk membawa pembangunan di negeri itu.