Rakyat kini lebih yakin dengan kebebasan kehakiman, kata DAP

Oleh BORHAN AHMAD

Veteran DAP, Lim Kit Siang menyifatkan rakyat negara ini sekarang lebih yakin dengan kebebasan intitusi kehakiman selepas zaman gelap kebebasan kehakiman.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, beliau mengalu-alukan kenyataan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Tengku Maimun yang membuat penegasan tentang kebebasan kehakimaan.

“Saya menyambut baik kenyataan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang membuat penegasan tentang peri pentingnya prinsip kebebahan kehakiman di Malaysia,” kata Kit Siang.

Menurut beliau, beberapa kes kebelakangan ini menunjukkan perkara ini.

“Langkah perlu diambil untuk mengukuhkan prinsip kebebasan badan kehakiman seperti mengecualikan sebarang pengaruh eksekutif dalam pelantikan dan kenaikan pangkat hakim.

“Ini akan menjadi salah satu langkah penting bagi negara untuk bangkit selepas kemerosotan selama setengah abad bagi memenuhi aspirasi Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman agar Malaysia menjadi “syurga keamanan, keharmonian dan kebahagiaan” dan “suar cahaya” dalam dunia yang sukar dan terganggu,” kata Kit Siang.

Semasa sidang media yang diadakan di Istana Kehakiman, Putrajaya semalam, Tengku Maimun dengan tegas menafikan bahawa beliau atau rakan-rakannya pernah didekati oleh mana-mana pihak atas sebarang dakwaan campur tangan kehakiman, khususnya merujuk kepada dakwaan bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mengenai cubaan campur tangan dalam badan kehakiman.