Rakyat Malaysia takut nak sambut raya di Thailand

Oleh KIM SYAZIE

Setiap kali tiba musim perayaan, Selatan Thailand pasti penuh dengan rakyat negara ini yang berkunjung ke sana sama ada untuk melancong mahupun melawat sanak saudara.

Namun kali ini rakyat Malaysia nampaknya cuba mengehadkan perjalanan ke wilayah itu dan menangguhkan segala perancangan untuk pulang ke kampung di sana sempena Aidilfitri akan datang.

Ia susulan kes letupan bom dan tembakan di Sungai Golok minggu lalu yang menggemparkan negara itu.

Menurut laporan Kosmo!, rakyat Malaysia yang mempunyai ahli keluarga dan saudara-mara di Selatan Thailand kini takut untuk pulang ke kampung mereka.

Mereka juga terpaksa menangguhkan rancangan untuk pulang beraya terutama di Sungai Golok kerana khuatir dengan situasi semasa yang masih tegang atau berkemungkinan insiden sama boleh berulang dalam tempoh terdekat.

Sejak kes serangan bom berlaku, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang yang dahulunya penuh sesak dengan orang ramai kini berubah seperti menjadi bandar berhantu.

Beberapa video beredar di media sosial, menunjukkan keadaan ICQS beberapa hari lalu dalam keadaan sangat lengang dan kosong tanpa pengunjung.

Kebiasaannya, pintu masuk ICQS akan mula dipenuhi dengan deretan kereta seawal 4 petang setiap hari pada Ramadan, memandangkan pekan Golok menjadi lokasi tumpuan bazar Ramadan serta tempat berbuka dalam kalangan warga tempatan.

Untuk rekod serangan bersenjata dan letupan bom di wilayah Narathiwat, Thailand, meragut nyawa dua sukarelawan polis serta mencederakan lapan yang lain.

Baca juga: Banyak komitmen perlu dibayar, Datuk Aliff Syukri sudah mula beniaga seawal 4 pagi