Jingga 13 Melaka akur dan setuju dengan mana-mana pimpinan yang dipilih selaku calon mewakili Dewan Undangn Negeri (DUN) Melaka, namun begitu calon tersebut harus diteliti dan dipastikan kesetiaan dan kejujurannya kepada nilai dan perjuangan bersama.
Menurut Pengerusi Koordinator Jingga 13 Melaka, Shah Kesuma Jaya, bersama Timbalannya Ammar Firdaus Suboh, dan Bendaharinya Md Ali Mas’ud, perbuatan melompat parti adalah permainan jijik yang merendahkan integriti seseorang pemimpin dan tidak disenangi rakyat.
Justeru itu mereka berkata, satu Akuan Bersumpah (SD), ikrar taat setia bertulis perlu dilaksanakan dan dihebahkan.
“Biarlah rakyat menjadi saksi secara umum kerana maruah pemimpin adalah pada janji yang dikotakan dan nilai-nilai yang ditegakkan, di mana ia tidak terhakis oleh janji-janji manis pihak lawan dan asakan umpan serta ugutan.
“Tindakan bermaruah berpaksi teguh dengan pendirian untuk menjaga rakyat yang mengundi dan menggantung harapan kepada mereka. Maka ikrar Aku Janji merupakan sumpah setia amanah calon-calon atau bakal wakil rakyat kepada para pengundi,” ujar mereka dalam satu kenyataan bersama kepada Malaysia Dateline.
Tegas mereka lagi, ‘Langkah Sheraton’ dan insiden pecah amanah mandat rakyat menumbangkan kerajaan pilihan rakyat negeri Melaka pada pilihan raya umum ke-14 telah menyebabkan berlaku ketidakstabilan politik sehingga kini.
Mereka juga mengingatkan semua pihak supaya tidak cuba menangguk di air keruh dan harus menerima keputusan dengan hati yang terbuka kerana sebetulnya rakyat sudah muak dengan sikap angkuh pemimpin yang semberono janji mereka serta meremehkan perasaan rakyat.
Sejajar dengan itu Jingga 13 Melaka menyarankan supaya rakyat negeri Melaka menggunakan kuasa atau peruntukan undang-undang bagi menghukum maupun memecat Adun yang mengkhianati, ingkar mandat dan amanah rakyat.