Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakyat Melaka kembali menerima BN untuk menubuhkan kerajaan negeri.
Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, rakyat Melaka telah pun membuat keputusan melalui peti undi pada hari ini.
Dalam masa sama, Saifuddin berpendapat keputusan PRN kali ini memerlukan pihak PH melakukan pelbagai pengamatan meliputi banyak perkara.
“Kami mengucapkan tahniah kepada Umno dan BN juga terima kasih kepada pengundi negeri Melaka yang keluar untuk membuat keputusan pada hari ini,” katanya pada sidang media PH sebentar tadi.
Turut serta Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Pengerusi AMANAH Melaka, Adly Zahari merangkap calon DUN Bukit Katil dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Mengulas pola trend pengundian PRN Melaka, Saifuddin berkata, keputusan melalui peti undi itu perlu dihormati meskipun mandat pada 2018 kepada PH pada PRU-14 tidak sempat disempurnakan dalam tempoh lima tahun.
Sehubungan itu, PH, jelasnya akan melakukan penelitian terhadap keputusan PRN Melaka mengikut saluran, umur dan lokasi pengundi.
