Lah konsert je pun, tapi rakyat negara ini paling ramai buat ‘loan’ demi tiket Blackpink dan Coldplay

Oleh KIM SYAZIE

Siapa sangka rakyat di negara seberang lebih parah dalam soal pengurusan wang kerana kebanyakan mereka membuat pinjaman untuk membeli barang mewah dan tiket ke konsert.

Lapor Bloomberg, penganjuran konsert muzik pasca-Covid-19, daripada Coldplay hingga Blackpink, mendorong lebih ramai rakyat Indonesia terjebak kepada pinjaman teknologi kewangan untuk mendapatkan wang segera.

Pinjaman terkumpul daripada platform digital itu mencecah 51.5 trilion rupiah (kira-kira RM15.9 bilion) pada Mei

Angka itu meningkat 28 peratus daripada setahun lalu, menurut Penguasa Perkhidmatan Kewangan, atau OJK.

Kini, pengawal selia memberi amaran kepada peminjam supaya berhati-hati dan tidak meminjam melebihi kemampuan mereka.

“Kebanyakan mereka yang mengalami kesukaran membayar pinjaman biasanya meminjam untuk keperluan pengguna, contohnya, membeli gajet baharu, rekreasi, fesyen, malah baru-baru ini untuk membeli tiket konsert,” kata Pesuruhjaya OJK Friderica Widyasari Dewi dalam taklimat pada Selasa lalu.

Lebih separuh daripada pinjaman terkumpul masih tertumpu di Jakarta dan Jawa Barat yang terletak berdekatan.

Nisbah kredit pinjaman dalam talian yang tidak dibayar oleh peminjam selama lebih daripada 90 hari dari tarikh matang meningkat kepada 3.36 peratus pada Mei, daripada 2.78 peratus pada akhir tahun lalu.

Jumlah itu masih di bawah ambang lima peratus yang ditetapkan oleh pengawal selia.

“Kami terus menasihati orang ramai supaya memahami risiko pinjaman dalam talian, terutamanya bahaya platform mudah alih teknologi kewangan (fintech) haram,” kata Dewi.

Baca juga: Dulu projek juta-juta, kontraktor ini miskin sekelip mata selepas beristeri dua