Rakyat sekali lagi akan dibebankan dengan kadar tarif elektrik yang baharu, bak kata pepatah sudah jatuh ditimpa tangga setelah dibebani dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, kini terbeban pula dengan beban baru oleh kerajaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain, rakyat seharusnya diberi pembelaan kerana kos sara hidup yang tinggi serta membebankan mereka ekoran wabak Covid-19 dan juga musibah banjir teruk yang melanda baru-baru ini.
“Ekoran kelemahan kerajaan, akhirnya kini rakyat pula menjadi mangsa dengan pelbagai bebanan sedangkan yang menimbulkan masalah kepada kerajaan adalah syarikat-syarikat korporat.
” Penindasan demi penindasan yang dilakukan sehingga menyebabkan rakyat seolah-olah tidak mampu bernafas lagi tidak di sedari, sedangkan bil elektrik yang rakyat punyai masih lagi belum dapat dilangsaikan.
” Apakah jaminan kerajaan dengan pengumuman tarif elektrik yang baharu tidak lama lagi ianya tiidak akan membebankan rakyat sepertimana yang didakwa oleh Menteri terbabit,” soal beliau ketika dihubungi.
Malah katanya, kerajaan didesak supaya menangguhkan dahulu kenaikan kadar tarif elektrik tersebut sepertimana yang telah direncanakan.
Pada Ahad yang lalu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika hadir di Majlis penyampaian sumbangan kepada persatuan, badan bukan kerajaan dan kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu telah menyatakan kerajaan akan mempertimbangkan semula kadar tarif elektrik negara ini bagi tempoh 2022 hingga 2024 bagi mengurangkan beban rakyat.