Rakyat tengah depresi, menteri pula perli makan mi segera, kata Salahuddin

Oleh Oleh NASUHA RAHMAN

Isu rakyat semakin tertekan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan bermacam-macam kes dilaporkan termasuklah masalah rumah tangga dan kes bunuh diri.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengakui rakyat hari ini cukup tertekan dengan masalah kewangan malangnya kerajaan pula lebih suka bercerita tentang ekonomi negara.

Ahli Parlimen Pulai itu juga berkata, rakyat sedang menghadapi gangguan kesihatan mental atau depresi akibat hilang pekerjaan sekaligus hilang pendapatan bagi menyara keluarga.

“Ekonomi tidak stabil beri kesan besar pada kehidupan rakyat,” katanya melalui Facebook.

Tetapi katanya, menteri-menteri pula sempat menyindir rakyat dengan menunjukkan mereka makan mi segera.

“Nyawa rakyat begitu murahkah?

“Kejayaan inikah yang ingin dikongsi dan diwar-warkan sang pentadbir?

“Condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegak,” kata beliau.

Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video seorang lelaki cuba terjun dari tingkat 11 bangunan pangsapuri untuk membunuh diri disebabkan tiada punca pendapatan dan hidup sebatang kara.

Kejadian tersebut dimaklumkan berlaku di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jinjang Utara, Kuala Lumpur.

Dan hari ini pula dilaporkan seorang lelaki bertindak mengunci pagar, grill dan pintu belakang rumahnya dari dalam kerana tertekan tidak mempunyai pekerjaan akibat PKP.