Sosok bekas wartawan agensi berita antarabangsa Reuters, Andrew MacGregor Marshall kembali menyita perhatian menerusi ciapannya di laman media sosial Twitter hari ini.
Ia selepas dia memuat naik perkembangan terkini Puteri Bajrakitiyabha yang menurut sumber istana dan perubatan, mengalami kecederaan buah pinggang akut setelah hampir sebulan bergantung hidup dengan mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO).
“Puteri sebenarnya telah ‘brain dead’ sejak 14 Disember lalu namun masih lagi hidup.
“Hal ini mengakibatkan kecederaan ekstrim pada organ buah pinggangnya. Keadaan ini biasa dialami oleh pesakit yang bergantung kepada ECMO selama bermingu-minggu,’’ katanya.
Puteri Bajrakitiyabha Narendiradebyavati yang merupakan anakanda Raja Thailand, Raja Mahal Vajiralongkorn dilaporkan tidak sedarkan diri di hospital bulan lalu.
Memetik laporan Bernama pada 8 Januari, puteri sulung Vajiralongkorn itu dimasukkan ke Hospital Memorial King Chulalongkorn, Bangkok kerana mengalami serangan jantung jesteru mengakibatkan aritmia dan jangkitan Mycoplasma.
Meskipun enggan mendedahkan sumber asal maklumat tersebut, perkongsian berani wartawan asal British itu telah dilihat oleh 320 ribu orang pengguna Twitter.
Berita yang belum menerima sebarang verifikasi dari pihak istana itu mengundang pelbagai reaksi dari pembaca termasuk penduduk Thailand.
“Penduduk Thailand hanya boleh menunggu pernyataan daripada pihak istana”, komen seorang pembaca.
“Anda melakukan tindakan yang tepat dengan melaporkan berita yang benar,” kongsi pengguna Twitter dari Thailand yang bernama Myshi.
Andrew MacGregor adalah bekas wartawan Reuters yang bertapak di Thailand sebelum meletak jawatan pada 2011 kerana agensi akhbar tersebut enggan menyiarkan laporan ekslusif tentang monarki Thailand.
Setakat ini pihak istana belum memberi sebarang kenyataan mengenai keadaan terkini puteri yang merupakan salah seorang perwaris takhta diraja Thailand.
Sekiranya puteri Bajrakitiyabha ditabalkan, beliau adalah pemimpin wanita pertama di negara gajah putih itu.
Baca juga: “Pak Anwar begitu cerdas”- Berucap di Indonesia, Anwar Ibrahim tuai pujian rakyat negara seberang