Seorang peguam syarie berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsikan pengalaman peribadi dialami oleh anak guamnya selepas beristeri dua atau berpoligami.
Tidaklah seindah seperti dikhabarkan, peguam syarie dikenali sebagai Irsamuddin Fitri itu tidak menafikan bahawa mereka yang mengamalkan poligami ini akan mengalami detik indah dalam kehidupan mereka.
Fasa tersebut bagaimanapun tidak akan kekal selamanya yang mana sebahagian besar dari pengamalnya terutama sang suami mula merasa terbeban apabila mereka sedar bahawa pilihan itu datang bersama tanggungjawab.
Realiti sebenar yang dialami sendiri oleh anak guamnya itu dikongsikan oleh peguam syarie berkenaan menerusi satu hantaran berbentuk rakaman temu bual dimuat naik di akaun TikTok miliknya.
“Hidup beristeri dua ini memang seronok ketika fasa awal. Mula-mula seronok, seperti bulan madu. Namun apabila masuk ke bulan kedua, ketiga dan seterusnya, sudah mula fasa tanggungjawab.
“Apabila sudah sedar mengenai tanggungjawab mereka, barulah terasa beban itu. Jadi mula rasa beratlah untuk menjalani hidup beristeri dua ini,” kata peguam terbabit dalam perkongsian itu.
Dalam rakaman yang berdurasi 38 saat itu, peguam syarie berkenaan juga mengakui bahawa ramai anak guamnya menyampaikan pesanan supaya tidak terjebak dengan poligami jika tidak mampu memikul beban.
Sekadar info, hukum asal poligami dipegang oleh jumhur Ulama adalah harus yang nama menurut Imam As-Syafi’e dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji menjelaskan hukum ini boleh berubah menjadi makruh, sunat atau haram.
Sekiranya poligami dilakukan untuk keseronokan semata-mata dan suami tidak yakin dengan kemampuan sendiri untuk berlaku adil serta menunaikan nafkah kepada isteri-isterinya, maka hukumnya adalah makruh.
Hal ini kerana poligami bukanlah suatu keperluan baginya dan boleh memberi kesan perkahwinan itu selain akan menyebabkan kemudaratan kepada isteri-isterinya yang berpunca daripada ketidakmampuan suami.
Amalan poligami bagaimanapun menjadi sunat apabila suami memerlukan isteri yang lain seperti mendapatkan zuriat berikutan pasangan yang sedia ada tidak mampu mengandung kerana memiliki masalah kesihatan.
Poligami juga disunatkan di dalam keadaan suami yang mempunyai keinginan berlebihan sehingga seorang isteri tidak mampu melayannya namun lelaki itu perlu memiliki kemampuan dari sudut nafkah dan berlaku adil terhadap isteri-isterinya.
Kedua-dua situasi ini tidak memiliki halangan untuk para suami beristeri lebih daripada satu berikutan pilihan poligami seperti itu mendatangkan kebaikan serta maslahat syarak.
Hukum poligami bagaimanapun menjadi haram apabila seseorang lelaki merasa yakin tidak mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya yang mungkin datang daripada faktor kemiskinan atau kelemahan dirinya sendiri.
Dalam situasi seperti ini, poligami tetaplah sah sekiranya memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat nikah, namun hukumnya haram dan suami menanggung dosa kerana boleh memberikan kemudaratan kepada orang lain.
Baca juga: Nafi diri digam, Da’i Syed akan tetap profesional jika ditawarkan berlakon