‘Ramai lagi pimpinan Bersatu merisik peluang kembali ke pangkuan Umno’

Oleh ARIF ATAN

Lebih ramai pemimpin dan ahli Bersatu menyatakan hasrat untuk kembali menyertai semula Umno, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, parti berkenaan sedia memperhalusi setiap permohonan mereka, termasuk bekas ahli yang sebelum ini dikenakan tindakan tatatertib oleh parti.

“Umno mengalu-alukan ‘sirih pulang ke gagang’ kepada mereka yang akhirnya menyedari Umno jua parti yang benar, tulus serta jujur dalam perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

“Difahamkan, ramai lagi pimpinan Bersatu merisik peluang kembali ke pangkuan Umno. Insya-Allah kita perhalusi setiap permohonan dengan berlapang dada dan jiwa yang besar.

“Bukan saja dalam kalangan pemimpin, malah ahli biasa mana-mana parti sekali pun kerana Umno akan menggembleng segenap kekuatan bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau.

Difahamkan, kali terakhir perjumpaan semua pemimpin gabungan tiga parti politik Melayu iaitu Umno, Pas dan Bersatu adalah beberapa hari sebelum pembentukan kerajaan pada 17 Ogos lalu.

Hubungan antara kepemimpinan utama Umno dengan Bersatu dilihat tidak mesra ketika Pas yang bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN) juga mesra dengan Bersatu.

Sebelum ini, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang menerajui Bersatu tumbang sebelum Putrajaya diambil alih Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Zahid dalam hantaran sama di Facebook beliau berkata, sudah ada pemimpin Bersatu sebelum ini yang terlebih dahulu meninggalkan Bersatu.

“Sebelum itu ada pimpinan Bersatu sudah pun terlebih dulu meninggalkan Bersatu bagi menyertai semula parti terbesar bangsa Melayu.

“Selagi kepulangan mereka kepada Umno dengan hati nurani yang ikhlas berserta roh dan semangat untuk perjuangan Umno yang mulia,” katanya.

Zahid yang dilabel sebagai ‘kluster mahkamah’ ekoran berdepan pertuduhan pecah amanah (CBT) membabitkan dana Yayasan Akalbudi itu mengulas keputusan bekas Ketua Bersatu Putrajaya bersama lebih 120 ahli parti tersebut yang kembali menyertai Umno baru-baru ini.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut turut mengingatkan tindakan itu usah disamakan dengan perbuatan curang wakil rakyat melompat parti selepas pilihan raya yang jelas satu penipuan kepada rakyat.