Ramai perasan papan tanda “IPOH” berderet dipasang sebelum tol, apa penyebabnya?

Oleh KIM SYAZIE

IJika anda memandu menuju ke Ipoh dari arah selatan, besar kemungkinan anda pernah melihat deretan papan tanda bertulis “IPOH” yang dipasang berulang-ulang sepanjang beberapa kilometer sebelum Tol Ipoh Selatan.

Bukan hanya papan tanda biasa, malah terdapat juga huruf gergasi berwarna putih yang sengaja dibina menghadap laluan utama.

Situasi ini sering menimbulkan persoalan: kenapa perlu begitu banyak papan tanda untuk satu nama bandar sahaja?

Sekilas pandang, ramai menyangka papan tanda tersebut hanyalah sebahagian daripada strategi promosi pelancongan bagi menonjolkan Ipoh sebagai destinasi popular di Perak.

Namun, tujuan sebenar rupa-rupanya lebih bersifat praktikal.

Difahamkan, papan tanda itu dipasang secara berulang untuk memberi peringatan jelas kepada pemandu agar tidak terlepas keluar di Plaza Tol Ipoh Selatan.

Susur keluar ini terletak di lorong kiri jalan dua hala dan mudah terlepas pandang jika pemandu tidak cukup fokus lebih-lebih lagi apabila kenderaan bergerak laju atau cuaca tidak mengizinkan.

Tidak seperti persimpangan besar lain, susur keluar ini tidak mempunyai lorong khas yang luas, menjadikannya lebih mencabar untuk dikenal pasti terutama oleh mereka yang kurang biasa dengan laluan tersebut.

Terlepas Tol? Bersedialah hadapi ujian sabar

Menurut perkongsian pengguna lebuh raya, terlepas sahaja susur keluar Ipoh Selatan bermakna anda tiada pilihan selain meneruskan perjalanan sejauh kira-kira 40 kilometer ke Plaza Tol Kuala Kangsar satu-satunya lokasi yang dibenarkan untuk membuat pusingan-U.

Selepas itu, anda perlu memandu hampir 30 kilometer semula untuk kembali ke Ipoh. Keseluruhannya, ia boleh menambah sekitar satu jam perjalanan, bergantung kepada keadaan trafik.

Bukan itu sahaja, bagi mereka yang dalam keadaan letih atau membawa anak kecil dan bercadang untuk berhenti rehat, lokasi paling hampir hanyalah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak.

Situasi ini bukan sahaja memenatkan malah boleh menjejaskan keselesaan perjalanan.

Maka, papan tanda “IPOH” yang kelihatan berulang-ulang itu sebenarnya bukan sekadar hiasan, ia adalah isyarat penting untuk memastikan anda tidak tersasar dari destinasi.

Baca juga: Betul ke mesin dobi guna tong gas? Ini penjelasan mudah untuk orang awam