Ramai tak tahu sebenarnya Sultan Johor tak pernah gagal bayar cukai setiap tahun

Oleh KIM SYAZIE

Kelmarin ketika Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyambut ulang tahun keputeraannya, ada soalan menarik yang ditanyakan seorang pengguna Twitter kepada kerabat Diraja Johor itu.

Mereka tertanya, adakah kerabat Diraja Johor membayar cukai seperti rakyat yang lain.

Nampaknya ramai yang tidak tahu sebenarnya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak pernah gagal menjalankan kewajipan baginda sebagai pembayar cukai setiap tahun.

Ia disahkan sendiri oleh Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Johor pada 2019 iaitu MD Kamal Johan.

LHDN berkata, baginda Sultan Ibrahim membayar cukai secara teratur dan tepat.

“DYMM Sultan Johor setiap tahun membayar cukai secara teratur dan tepat di mana ia (cukai) merupakan salah satu enjin penting kepada negara dalam memperoleh hasil pendapatan.

“Ini bukan sahaja penting untuk pembangunan negara, malah juga penting untuk pertumbuhan ekonomi negeri Johor,” katanya.

Sultan Johor juga pernah terlebih membuat bayaran kepada LHDN berjumlah sehingga RM1.4 juta.

Baginda kemudian bertitah, lebihan bayaran cukai bagi tahun 2019 yang dipulangkan semula kepadanya dikurniakan kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Baca juga: Siap belari-lari anak, wanita kagum dengan keramahan Permaisuri Agong di Mekah