Ramalan tercapai, Malaysia akhiri 2024 sebagai pusat data hab terbesar di Asia Tenggara

Oleh ROSLAN ZAMAN

Malaysia menepati ramalan penyelidikan untuk mengakhiri 2024 sebagai hab pusat data terbesar Asia Tenggara dengan pelaburan berjumlah AS$23 bilion (RM103 bilion).

Knight Frank Malaysia menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia didorong oleh pelaburan daripada empat syarikat teknologi gergasi iaitu Microsoft, Amazon Web Services (AWS), Google dan Oracle berjumlah AS$23 bilion.

Dalam Laporan Penyelidikan Pusat Data 2024 yang dikeluarkan semalam, firma perundingan hartanah global itu berkata komitmen Malaysia terhadap inovasi teknologi menjadikannya destinasi pilihan untuk pelaburan pusat data dan model untuk daya tahan ekonomi.

Pengarah Urusan Knight Frank Malaysia Group, Keith Ooi berkata, usaha negara meraikan kejayaan dalam pelaburan pusat data, mengukuhkan kedudukannya sebagai hab digital terkemuka di rantau ini.

Johor telah muncul sebagai pemain utama mengatasi Lembah Klang dalam kapasiti teknologi maklumat dan memacu urus niaga tanah untuk pembangunan pusat data berskala besar.

Malaysia kini mempunyai 54 pusat data yang beroperasi, dengan kapasiti 504.8 megawatt (MW), yang mana Johor mendahului dari segi kapasiti teknologi maklumat (IT), manakala Lembah Klang kekal menjadi pasaran teras.

Antara hab baru muncul lain termasuk Sarawak, Negeri Sembilan dan Kedah, demikian menurut Knight Frank Malaysia.

Knight Frank Malaysia meletakkan Malaysia menduduki tempat pertama dalam kalangan negara lain di Asia Tenggara dalam Indeks Peluang Pusat Data SEA-5 Knight Frank untuk tahun kedua berturut-turut dengan penggunaan tahunan sebanyak 429 megawatt (MW).

1) AWS melabur di Malaysia sebanyak AS$6.2 bilion (kira-kira RM27.9 bilion). (1USD=RM4.50)

2) Microsoft AS$2.2 bilion (kira-kira RM9.9 bilion).

3) Google melabur sebanyak AS$2 bilion (kira-kira RM9 bilion) pada Jun lalu untuk membina pusat data dan wilayah awan (cloud) yang pertama di Malaysia.

4) Oracle mengumumkan pelaburan sebanyak AS$6.5 bilion (kira-kira RM29.25 bilion).

5) ByteDance, syarikat induk TikTok, turut menyuntik dana ke Malaysia dengan pelaburan AS$2.13 bilion (RM10 bilion) untuk membina pusat AI di Johor