Rangkaian peduli sosial Islam Selatan Thai wajar dicontohi

Oleh BORHAN AHMAD

Kesungguhan masyarakat Islam Selatan Thailand mewujudkan rangkaian peduli sosial benar-benar menarik dan boleh dijadikan model untuk dipraktikkan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan ummah.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah berkata pihaknya amat berpuashati kerana mendapat kesempatan melawat beberapa pusat peduli sosial di kawasan itu semasa mengadakan pemukiman (retreat) kepimpinan di Patani, 5 dan 6 Febuari lalu.

“Kerjasama segenap lapisan masyarakat di sana yang memberi fokus meringankan beban anak yatim, ibu tunggal, golongan miskin dan mereka yang memerlukan bukan saja amat berjaya malah boleh dicontohi oleh masyarakat lain,” kata beliau.

Selain mengadakan perbincangan bagi mangatur gerak kerja parti katanya pemimpin Amanah negeri sempat berkunjung ke sebuah rumah anak yatim di Nad Tanjung dekat Pattani, mengadakan kunjungan hormat ke rumah bekas Senator, Dr Worawit Baru dan menghadiri pembukaan pusat ‘Jom Beli Sambil Khairat’ di pinggir bandar Yala.

Menurut beliau, Rumah Anak Yatim di Nad Tanjung diusahakan sendiri oleh penduduk tempatan yang diketuai Tok Kamnan (Penghulu) Kamarudin Musa.

“Mereka membeli sendiri tanah seluas 10 rai (hampir 3 ekar) melalui kutipan derma orang ramai dan kini pusat peduli anak yatim ini menjadi tempat menumpang lebih seratus anak-anak yatim,” katanya.

Apa yang istimewa menurut beliau ialah anak-anak yatim diberi pilihan sama ada tinggal di pusat berkenaan atau di rumah masing-masing.

“Sama ada mereka tinggal di pusat anak yatim atau di rumah, kebajikan mereka dari segi makan minum dan pendidikan akan dipastikan tidak terabai,” katanya.

Dalam pertemuan dengan Senator Worawit, Wan Abdul Rahim amat gembira kerana mendapat maklumat terkini berkenaan situasi sosial dan politik di Thailand.

“Meskipun masih di bawah pemerintahan tentera, aktiviti masyarakat terutama di kawasan selatan berjalan seperti biasa dan organisasi-organisasi peduli sosial dibenarkan berjalan tanpa sebarang sekatan,” katanya.

Meskipun belum muktamad perubahan yang bakal berlaku dalam pindaan terhadap sistem politik Thailand masyarakat Islam di kawasan selatan menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kita diberitahu bahawa pusat penjanaan ekonomi seperti koperasi Islam Ibnu Affan dan badan-badan lain terus membantu masyarakat menjalankan perniagaan dan mengembangkan peningkatan kemahiran diri,” katanya.

Satu lagi pusat peduli masyarakat yang dilawati Amanah Kelantan adalah yayasan pendidikan dan pembangunan sumber manusia yang berpusat di pinggir bandar Yala.

“Kebetulan semasa lawatan kita pusat ini melancarkan sebuah mini market yang dinamakan Kedai Wakaf Anak Yatim dengan konsep ‘membeli sambil menderma’ dibuat secara sistematik,” katanya.

Menurut beliau, barang-barang di kedai tersebut diperolehi hasil sumbangan para dermawan.

Bagi pembeli biasa harga dikenakan mengikut harga pasaran manakala bagi armalah (ibu tunggal) dan anak yatim, mereka mendapat diskaun tinggi dan barang-barang tertentu diberi percuma,” jelas beliau lagi.