“Rasa hati ini hancur, dah tak ada apa yang nak dicakapkan lagi” – Bekas madu Miera Liyana akhirnya bercerai

Oleh KIM SYAZIE

Hampir tiga dekad hubungan bersama suami akhirnya bercerai juga, walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk kekal bersama demi anak-anak.

Adibah Abdul Mutalib dan bekas suami, Rosland Othman mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995.

Rosland melafazkan cerai talak satu kepada Adibah tepat jam 10.50 pagi, di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam.

Menurut Harian Metro, bekas madu kepada pelakon Miera Liyana, juga mengakui sedih mengenangkan anak-anak.

“Saya dah boleh agak dan dapat rasakan pengakhirannya begini (cerai). Kalau sedih pun, sedih mengenangkan anak-anak,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Hasil perkongsian hidup selama 28 tahun, mereka dikurniakan lima cahaya mata perempuan yang berusia antara 11 hingga 26 tahun.

Walaupun kecewa, Adibah sudah menduga keputusan perceraian yang dibuat oleh bekas suaminya.

“Rasa hati ini hancur. Dah tak ada apa yang nak dicakapkan lagi,” tambahnya.

Rosland ketika di hadapan hakim berkata, dia membuat keputusan untuk lafaz cerai itu selepas tiada lagi persefahaman dan tiada perasan sayang terhadap Adibah.

Difahamkan juga perceraian itu berlaku selepas keputusan Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) melaporkan kepada mahkamah bahawa perdamaian bagi kedua-dua pihak gagal dicapai.

Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan atau memberi kebenaran kepada Rosland selaku pihak plantif melafazkan talak satu terhadap Adibah.

Pada Julai 2020, Rosland berkahwin kali kedua dengan Miera Leyana. Hasil perkongsian hidup itu, mereka kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Baca juga: Rupanya senang je buat sendiri mi kuning tanpa mesin, tiada pengawet dan sedap pula tu