Rasuah Busters gesa Anwar lantik barisan Kabinet berintegriti, isytihar harta perlu jadi keutamaan

Oleh KIM SYAZIE

Barisan Kabinet di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dibarisi menteri-menteri yang terbukti prestasinya dan berintegriti agar manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dapat dilaksanakan dengan baik.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Husammuddin Yaacob berkata, jika Anwar benar-benar ikhlas mengotakan janji untuk memerangi rasuah, beliau perlu melantik Kabinet yang memenuhi kriteria seperti yang disenarai.

Bagaimanapun kata Husamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf, sekiranya tiada dalam kalangan ahli Dewan yang memenuhi kriteria tersebut, Anwar digesa untuk bersedia melantik daripada kalangan pakar dan profesional yang tidak terdiri daripada wakil rakyat bagi menunaikan tanggungjawab berkenaan.

Antara kriteria digariskan Rasuah Busters;

Berkemampuan
Menteri yang dipilih harus mempunyai keupayaan, kemahiran dan pengetahuan tentang kementerian yang akan diterajui.

Pencapaian
Menteri yang dipilih mempunyai sejarah dan rekod pencapaian yang baik dalam bidang berkaitan dan mempunyai kelayakan yang sesuai dengan peranan kementerian.

Mengutamakan agenda rakyat
Menjadikan isu rakyat antaranya ekonomi, peluang pekerjaan, kesihatan, pendidikan dan sara hidup sebagai keutamaan dalam pentadbiran.

Berintegriti dan jujur
Lantikan adalah dengan syarat bahawa menteri-menteri akan memastikan ketelusan pentadbiran dan menghapuskan ketirisan.

Isytihar harta
Menteri-menteri harus mengisytiharkan aset mereka dan ahli keluarga sebagai langkah mencegah konflik kepentingan, pemilikan tidak wajar dan meningkatkan integriti.

Sementara itu Husamuddin berkata, Rasuah Busters bersama 524 rakan gabungannya akan terus berperanan memastikan rekod prestasi kerajaan dipantau dalam tempoh 30 hari, 60 hari, 100 hari dan seterusnya agar Malaysia benar-benar kembali pulih dan integriti menjadi asas kepada kestabilan sebuah Malaysia Tanpa Rasuah.

Baca juga: Sudah meninggal 6 bulan, wanita sebak baca nota arwah ibu

Baca juga: ‘Pengalaman luas, hubungan baik dengan negara luar, Anwar mampu jadikan Malaysia negara dihormati’