Rasulullah s.a.w ikon pemimpin di mata wanita

Oleh MALAYSIADATELINE

“Allahumma solli ala Muhammad” bait kalimah mudah diungkap dan boleh dialunkan dengan pelbagai rentak. Kaya dengan doa, makna dan mengandungi nama Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w.

Rasa cinta yang sarat dalam dada biasanya akan terzahir dengan ucapan dan bicara. Terkadang diucap tanpa pengertian yang mendalam.

Mentadabbur akhlak Rasulullah s.a.w. dan bergaul dengan masyarakat yang rencam ranum dengan pelbagai keadaan menyebabkan kita amat dan kian akur betapa tepatnya baginda digelar “Muhammad” yang bermaksud terpuji dan layak untuk sentiasa dipuji dari segenap aspek dirinya.

Meniru namanya adalah tindakan yang paling singkat dan mudah berbanding meniru akhlak etikanya yang luhur apatah lagi tutur mutiaranya yang berteraskan tunjang aqidah yang tegap lagi utuh dipenuhi dengan konsep syukur dan maaf.

Sebagai wanita budi dan santunnya terhadap kaum hawa memang tidak terbalas walau dengan sejuta kali selawat sepenuh jiwa. Hukum dan perhatiannya khusus kepada wanita dari yang tua kepada anak kecil, yang miskin mahupun kaya yang berharta juga kepada hamba di dalam rumahnya mahupun yang berada di sekitarnya, satu persatu diperinci diangkatnya sehingga tiada lagi wanita yang merasa tidakterbela bila baginda bersama mereka.

Baginda pembela wanita komitmennya mencengkam rasa menuntut betapa kami wajib berterima kasih kepada Rasulullah s.a.w.

Tiada lagi wanita yang jadi objek barang tukaran, tiada lagi wanita di bawah cengkaman dan kejahilan kerana ilmu sebagai kunci kebebasan jiwa insan beriman diserahkan sama seimbang dengan lelaki sezaman isteri-isteri baginda dididik menjadi “first lady” dalam beragama lalu digelar ibu para mukminin-ummatul mukminin yang jadi alimat tumpuan dan rujukan manusia terbilang dan para ilmuan.

Harta wanita terpelihara, maruah wanita terjaga dan auratnya dihormati bukannya dieksploitasi haknya diberi bukan didiskriminasi, Khadijah r.a. lambang wanita kaya yang sempurna segalanya.

Aishah r.a lambang wanita bijaksana yagn berani bersuara, Fatimah r.a lambang puteri Nabi yang berprinsip dan sederhana semuanya diasuh di bawah teduhnya kasih baginda wanita ikon yang imannya mengatasi lelaki.

Membayangkan manis dan mesra senyumannya sudah cukup membahagiakan jiwa lalu mengharapkan semua mukmin juga memiliki senyuman yang seakan-akannya, baginda lambang lelaki yang paling dikasihi dan dinanti kepulangan dan kehadirannya.

Sejak kini dia menjadi pujaan hati wanita yang bernama Aminah, Halimatus Saadiah, Ummu Aiman, Sumayyah yang rela berkorban nyawa demi mempertahankan aqidah yang diwahyukan kepada baginda.

Baginda kekal gemerlapan bercahaya di mata para wanita ternama terutama yang bernama Khadijah r.a. Baginda kekal menjadi wira di mata buah hatinya anakanda-anakanda puteri dan cucundanya berkat kecintaan baginda buat semua wanita. Tuntas kelahiran baginda rahmat buat wanita seluruhnya.

Akhirnya sebagai tanda cinta, nama Muhammad s.a.w. akan kekal basah dibibir wanita yang beriman dan bersyukur dengan nikmat maulidnya putra Abdullah “Allahumma sollia alla muhammad waala alihi washabihi ajmain.”

Salam Maulud Ya Habibi ya Rasulullah.