Dakwaan Ratu Naga menawarkan RM5,000 dapatkan pangkalan data Deklarasi Rakyat

Oleh MALAYSIADATELINE

Sidang media yang diadakan Azharuddin (kanan sekali) dakwa Ratu Naga akan membayarnya RM,500 untuk mendapatkan 1.2 juta data base penduduk Malaysia.

Seorang individu bernama Azharuddin Othman alias Abdullah hari ini tampil membuat pendedahan mendakwa beliau ditawarkan RM5,000 bagi sejumlah pengkalan data yang akan digunakan untuk 1.2 juta tandatangan Deklarasi Rakyat.

Dalam sidang media bersama Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Azharuddin, 30 yang bekerja sebagai pengaturara komputer bebas secara sambilan berkata, seorang wanita dikenali sebagai Ratu Naga menghubunginya pada 27 April lalu bagi tujuan itu.

“Dia menawarkan saya RM 5,000 untuk mendapatkan 1.2 data base dan beberapa penghantaran dibuat ke emailnya ([email protected]).

“Dia memaklumkan saya,  data base itu untuk kegunaan bagi projek memorandum Deklarasi Rakyat ke DYMM Yang DiPertuan Agong,” katanya ketika membacakan akuan bersumpah bagi membuktikan pendedahan dan pengakuan beliau adalah benar.

Bagaimanapun Azharuddin berkata, beliau hanya menerima RM1,000 daripada jumlah yang dijanjikan.

“Namun setelah semua selesai saya hanya mendapat RM1,000 sahaja dan sehingga kini saya tidak dapat baki bayaran yang dijanjikan,” katanya yang turut menunjukkan salinan print scren whatsapp komunikasinya dengan Ratu Naga dan e-mel yang berkaitan.

Menurutnya juga, Ratu Naga juga berkata tandatangan itu perlu dipalsukan kerana ingin cepat mencukupkan bilangannya.

“Dia juga menyatakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mahu namanya dilibatkan dalam penipuan ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Badrul Hisham yang juga pengerusi SAMM berkata, perkara itu sangat memalukan dan beliau bersimpati terhadap pemimpin dan penyokong yang didakwa telah ditipu Mahathir.

“Saya yakin watak seperti Datuk Ambiga, Mohammad Sabu dan beberapa nama lain tidak mengetahui perkara ini tetapi telah tertipu.

“Itulah yang saya jelaskan dari awal Mahathir dan kartelnya tidak pernah berubah. Mereka ini ialah penganut politik ‘Machiavelli’ yang tegar dan akan melakukan apa juga demi matlamat mereka,” katanya.

Sebagai rekod Deklarasi Rakyat-Selamatkan Malaysia setakat ini ditandatangani kira-kira 1.2 juta rakyat, yang akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad pada pengumuman dilakukan pada 13 Mei lalu.

Beliau berkata jumlah penandatangan deklarasi yang dilancarkan 4 Mac itu sudah melepasi sasaran sejuta tandatangan yang melibatkan penyertaan secara atas talian dan borang yang diedarkan pihak sekretariat.

Katanya juga sebanyak 253,000 borang telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat penyertaan.