Tular sebelum ini mengenai satu podcast di mana seorang wanita membuat pengakuan dirinya menjadi perempuan simpanan untuk melunaskan hutang bapanya.
Video tersebut menunjukkan perbualan hos dan Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi bersama seorang pemanggil wanita.
Disebabkan itu, hos podcast membuat keputusan untuk buat laporan polis atas tujuan ingin memastikan wanita tersebut selamat.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berdasarkan wawancara tersebut.
Menurut satu kenyataan media, mangsa dikesan pada jam 10.50 malam (Isnin) dan ditemukan selamat di sebuah rumah di Seberang Perai Utara.
Wanita tersebut mengakui ia hanyalah rekaan dan sekadar meluahkan perasaan selepas dihimpit syarikat pemberi pinjaman wang kerana berhutang.
“Siasatan mendapati wanita itu menghubungi wawancara di TikTok berkenaan pada 26 Julai lalu.
“Dia turut mengakui membuat pinjaman wang dengan beberapa syarikat pemberi pinjaman wang dan menerima ugutan kerana gagal membayar hutang.
“Ibu mangsa yang berada di kampung juga turut menerima ugutan,” katanya dalam kenyataan media tersebut.
Hamzah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dan menyebar sesuatu di media sosial tanpa buat semakan kesahihannya.
“Orang ramai yang diganggu atau menerima ugutan daripada along juga dinasihati supaya membuat laporan polis bagi tindakan lanjut,” katanya.
Baca juga: Anak harap bapa ada pusara macam orang lain, ini kronologi kehilangan Sabari Baharom