Rela kutip sampah untuk bayar yuran anak, ‘Saya tak pandai, nak bagi anak pandai’ – Bapa

Oleh KIM SYAZIE

Berulang alik sejauh 20 kilometer dengan menaiki motor saban hari tidak pernah mematahkan semangat seorang bapa untuk mencari rezeki.

Tidak memilih pekerjaan, bapa ini sanggup memerah keringat mengutip sisa sampah buangan manusia demi masa depan anaknya.

Riak wajah kelihatan sentiasa mengukir senyuman namun tiada siapa tahu beban yang terpaksa ditanggung lelaki itu.

Pengorbanan bapa yang bernama Basri itu dikongsikan oleh seorang pengguna sosial media yang turut memuat naik video tersebut di akaun TikTok miliknya.

Menurut Basri, dia rela melakukan pekerjaan yang mulia itu untuk membayar yuran persekolahan anaknya di sebuah sekolah agama.

Datang dari latar belakang yang tidak berkemampuan, Basri sedar akan kepentingan memberi akses pendidikan yang tinggi buat anaknya.

“Fasal anak nak sekolah, saya tak memilih kerja, janji halal. Yuran sahaja RM 500, (kalau) tak kerja, kasihanlah dekat anak-anak.

“Saya tak pandai, nak bagi anak saya pandai sikit,” katanya yang telah melakukan pekerjaan tersebut selama dua tahun.

Mungkin tidak mampu membayar tambang pengangkutan, isterinya tidak bekerja untuk menghantar anaknya ke sekolah setiap hari.

Semoga anak Basri menghargai pengorbanan ibu bapanya dan dapat mengubah nasib keluarga suatu hari nanti.

Baca juga: Gara-gara terlewat lebih 300 hari, projek Lebuhraya di Kelantan didenda RM30,000 sehari