Semak semula pertuduhan di Mahkamah Majistret Kemaman, semalam terhadap seorang remaja perempuan atas kesalahan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyatakan amat terkejut apabila remaja bawah umur itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Presidennya, Dr Koh Kar Chai, berkata, gadis yang menjadi mangsa jenayah rogol sembilan bulan lalu kini menjadi mangsa ketidakadilan.
“Lelaki atau perempuan yang terselamat daripada keganasan seksual mungkin berdepan kesan mental, tingkah laku dan sosial.
“Manakala kanak-kanak perempuan serta wanita akan menanggung lebih banyak beban akibat kesan reproduktif, selain trauma dan risiko mendapat jangkitan seksual,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berpendapat risiko untuk tertuduh kemurungan selepas bersalin pastinya lebih tinggi jika dia sudah tertekan ketika kehamilan yang tidak diingininya.

Sehubungan itu, Dr Koh berkata, pihaknya hairan mengapa gadis yang terselamat daripada rogol itu tidak diberikan sokongan psikologi yang sewajarnya sepanjang kehamilan.
“Apakah ketakutan dan tekanan yang dialami gadis ini sepanjang kehamilannya sehingga menyebabkan dia membunuh bayi itu pada hari dilahirkan?
“Kita pernah melihat kes di mana perogol sering kali dibenarkan bebas akibat kekurangan bukti atau tiada laporan dibuat kerana stigma sosial yang berakhir dengan wanita yang terselamat daripada rogol itu dibiarkan menghadapi semua ini sendirian.
“Terdapat keperluan yang pasti untuk menyemak semula keputusan mahkamah dalam kes ini,” katanya.
Selain trauma akibat rogol, jelas Dr Koh, mangsa terpaksa menanggung beban kerana mengandung dan berdepan pandangan masyarakat yang menambah kesengsaraannya.
“Ia meningkatkan risiko bukan saja mendapat penyakit mental tetapi juga mendorongnya ke arah tingkah laku yang tidak wajar seperti pembunuhan bayi,” katanya lagi.